Wanita Swiss tuntut gaji sama

GENEVA, 14 JUN – Wanita di seluruh Switzerland dijangka berhenti kerja dan membanjiri jalan hari ini untuk menuntut kesamaan gaji.

Acara yang dirancang sepanjang hari termasuk perarakan kereta sorong anak damit, konsert wisel, rehat makan tengah hari yang lebih lama serta perkelahan besar, dengan tunjuk perasaan besar-besaran dirancang diadakan pada petang ini di beberapa bandar, termasuk di depan bangunan kerajaan di Bern.

Kesatuan dan kumpulan hak yang menganjur acara ini berharap dapat melihat lautan warna ungu, warna yang dipilih untuk menunjukkan perpaduan dengan perjuangan tersebut, namun di sebuah negara di mana mogok kerja amat jarang berlaku, kehadiran masih tidak pasti.

Pada 14 Jun 1991, 10 tahun selepas kesamaan di antara jantina yang termaktub dalam perlembagaan Swiss, setengah juta wanita berjalan keluar dari tempat kerja atau rumah mereka untuk membantah ketidaksamaan yang berterusan.

Bagaimanapun, tiga dekad seterusnya, penganjur acara hari ini berkata keadaan masih belum meningkat, menegaskan wanita perlu menuntut ‘lebih banyak masa, lebih banyak wang dan lebih rasa hormat.’

Wanita di Switzerland secara purata masih memperoleh gaji 20 peratus kurang daripada lelaki.

Untuk lelaki dan wanita dengan kelayakan yang sama, jurang gaji masih kekal pada lapan peratus, menurut pejabat statistik nasional.

Penganjur telah menggesa wanita supaya meninggalkan kerja mereka, dan juga kerja rumah selama sehari untuk membantu menambah kesedaran mengenai sumbangan penting wanita dalam masyarakat.

Pemogok juga menuntut toleransi sifar terhadap keganasan wanita dan lebih rasa hormat dan gaji lebih baik untuk kerja wanita, termasuk melalui pengenalan gaji nasional minimum. – AFP

Ahli Dewan Undangan Negeri Margret Kiener-Nellen (tengah) mengambil bahagian dalam mogok wanita di seluruh negara untuk menuntut kesamaan gaji kelmarin di ibu negara Swiss Bern. – AFP