Wanita Syria dilatih asas kemahiran menjahit

ANKARA – Di sebuah bengkel di ibu negara Turki, Ankara yang dikendalikan oleh majlis perbandaran, wanita Syria dilatih untuk membuat gaun pengantin, satu pengalaman yang bertujuan untuk menyerapkan para pelarian ke dalam tenaga kerja tempatan.

“Saya mempunyai impian, dan saya datang ke sini untuk mempelajari apa yang dapat menjadikan impian saya menjadi kenyataan. Saya ingin berdikari dan memperolehi pekerjaan,” kata Heradi Sakih, ibu enam orang anak yang berusia 40 tahun dari bandar utara Syria, Aleppo, kepada Xinhua.

Sakih ingin memantapkan dirinya sebagai tukang jahit wanita yang baik dan membuka bengkelnya sendiri di Turki di mana dia dan keluarganya merancang untuk tinggal sehingga akhir perang saudara di tanah asalnya.

Penganjur projek itu, yang dibiayai oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian, memilihnya kerana orang yang boleh membuat pakaian pengantin wanita biasanya dapat membuat pakaian-pakaian lain.

“Perkara yang kami sasarkan adalah untuk menyerap wanita-wanita ini dalam tenaga kerja Turki. Oleh kerana para pendatang menghadapi banyak kesulitan mengenai pekerjaan, kami mengharapkan mereka mempunyai sesuatu untuk ditawarkan dan menjadikan bidang jahitan sebagai pekerjaan mereka,” kata Senay Yilmaz, yang bertanggung jawab atas urusan wanita di perbandaran metropolitan Ankara.

Kelihatan seorang wanita memakai penutup mulut dan hidung menjahit kain yang hendak dijadikan baju pengantin. – Xinhua

“Kami telah menguruskan projek PBB ini sejak tahun 2017. Setakat ini, 375 gadis telah bersekolah dan 150 para ibu diserapkan dalam tenaga kerja dengan mempelajari pertukangan,” jelasnya.

Ketika para ibu menjalani latihan selama enam minggu di bengkel, dua tingkat di bawah, anak mereka dapat bermain dan belajar bahasa Turki di pusat jagaan harian di bawah pengawasan guru prasekolah.

Sejak bermulanya konflik Syria yang berterusan pada tahun 2011, Turki telah menanggung beban paling berat untuk menampung pelarian. Terdapat 3.6 juta pelarian Syria yang berdaftar di seluruh Turki.

Walaupun kerajaan Turki memberikan akses ke beberapa perkhidmatan awam, yang paling penting adalah perkhidmatan kesihatan, kepada pelarian Syria, mereka masih menghadapi cabaran seperti kurangnya peluang pendidikan dan latihan.

Keadaan menjadi lebih teruk berikutan wabak COVID-19 yang mengakibatkan beribu-ribu warga Syria dan pekerja tempatan kehilangan pekerjaan mereka disebabkan perniagaan ditutup sementara atau tidak menentu kerana langkah-langkah penutupan sejak permulaan wabak pada bulan Mac 2020.

Kira-kira 1.6 juta rakyat Syria yang tergolong dalam umur bekerja di Turki, tetapi sangat sedikit yang mempunyai permit bekerja. Akibatnya, puluhan ribu warga Syria bekerja secara tidak formal di setiap bidang, terutama pembinaan, tekstil dan pertanian.

Hala Srouji, 22, juga berasal dari Aleppo. Dia terpaksa pergi ke sana pada tahun 2019 bersama enam ahli keluarga yang lain kerana permusuhan.

“Sebab utama mengapa saya di sini adalah untuk mempelajari pertukangan yang mungkin akan berguna kemudian, suatu pekerjaan yang dapat memberi pendapatan kepada keluarga saya,” katanya.

“Tujuan saya adalah untuk dapat berdiri sendiri dan menjadi orang berguna dalam masyarakat ini di mana pada awalnya kita dijauhi kerana kita tidak boleh berbahasa Turki,” kata wanita muda itu.

Eda Altun, pengajar di bengkel, juga seorang guru reka bentuk fesyen, sangat gembira dengan pencapaian mereka.

“Dalam enam minggu, masing-masing dapat menjahit dan membuat gaun pengantin secara individu. Objektif kami adalah untuk mendapatkan pekerjaan bagi wanita-wanita ini melalui kerjasama dan kedai di mana gaun itu dapat dijual,” katanya.

“Calon-calon ini cukup mahir dan mudah belajar menjahit dengan tangan dan mesin dan mempunyai ikatan serta semangat berpasukan yang kuat yang akan mereka gunakan untuk integrasi profesional di kemudian hari,” tambah Altun. – Xinhua