Wanita tempatan didenda $2,000

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Seorang wanita tempatan dijatuhi denda $2,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memalsukan pengendorsan pas kerja milik pembantu rumahnya pada 2014.

Nur Majidah binti Abdullah Luis mengaku bersalah atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport, Penggal 146 yang membawa denda $10,000 dan lima tahun penjara.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan tertuduh untuk membayar denda itu dan jika gagal berdepan dua bulan penjara.

Fakta kes menyebut, tertuduh menyimpan pasport pembantu rumahnya itu sejak ketibaannya di negara ini pada Februari 2014 di mana dia mengetahui yang pas kerja yang dikeluarkan kepada pembantu rumahnya itu mansuh pada 1 Mac 2014.

Tertuduh bertindak memalsukan pas kerja itu apabila pembantu rumahnya memaklumkan yang dia ingin pulang ke Indonesia.

Tertuduh menggunting pas kerja dari pasport lama pembantu rumahnya dan melekatkannya pada pasport baru dan kemudian memalsukan tarikh pada pasport baru dengan melanjutkan tempoh tarikh sah kepada 26 Januari 2016.

Pembantu rumah tersebut yang mengesyaki pengendorsan pada pas kerjanya itu tidak tulen telah mengemukakan pasportnya ke Seksyen Pas Kerja, Imigresen pada 29 Jun 2015.

Pegawai imigresen mendapati pengendorsan pas kerja pada pasport baru pembantu rumah itu telah dipalsukan kerana ia kelihatan digunting dan dilekatkan secara manual.

Tertuduh mengaku menggunakan salah satu daripada pas kerja pembantu rumahnya itu yang bertarikh 26 Januari 2010 dalam pasport lama lalu menguntingnya dan melekatkannya pada pasport baru dengan mengubah tahun 2010 kepada 2016.

Dia mengaku memalsukan pas kerja itu sekitar September 2014 kerana gagal untuk memperbaharui pas kerja pembantu rumahnya itu dan dengan berbuat demikian semuanya seolah-olah teratur.