Wanita tempatan ditahan, terlibat aktiviti tidak bermoral

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Seorang wanita yang dipercayai melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral telah ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, serbuan sekitar waktu petang itu menyasarkan salah sebuah bilik hotel di kawasan Kiarong, di mana seorang wanita warganegara tempatan dipercayai menjalankan aktiviti memberikan khidmat seks.

Suspek berumur 44 tahun itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan telah menginap di bilik penginapan tersebut sejak tiga bulan yang lalu.

Kenyataan menambah, suspek segera dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi menjalani ujian saringan COVID-19 dan dimasukkan ke lokap Balai Polis Bandar Seri Begawan bagi menantikan keputusan ujian saringan sebelum siasatan lanjut dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

Kenyataan menegaskan, PPDB memandang serius akan kegiatan maksiat seumpamanya dan menegaskan kepada para pengendali rumah sewa dan tumpangan agar sentiasa membuat pemeriksaan terhadap para penginap yang mencurigakan dan juga tidak bersubahat dengan kegiatan seperti aktiviti menawarkan khidmat seks dan sebagainya.

Pihak polis juga menyarankan orang ramai agar dapat bekerjasama dan menyalurkan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta melalui e-mel di laman sesawang PPDB, www.police.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.

Antara bahan bukti yang ditemui semasa serbuan berkenaan dijalankan.