PYONGYANG – Dengan berpakaian seragam blazer biru gelap, kemas bertali leher berkemeja putih di dalamnya dan berskirt di paras lutut, lengkap bertali pinggang serta berkasut hitam, kelihatan ‘wanita trafik’ sedang berdiri di tengah-tengah bulatan sebuah jalan raya di Pyongyang, Korea Utara.
Secara rasmi mereka dikenali sebagai pegawai keselamatan lalu lintas tetapi secara universalnya mereka digelar sebaga wanita trafik. Mereka dipilih oleh kerana penampilan mereka dalam sebuah masyarakat yang mana masih tetap tradisionalis dalam kebanyakan hal. Mereka mesti meninggalkan jawatan mereka apabila berkahwin, dan dimestikan bersara pada usia 26 tahun.
‘The 300-odd ladies’ ini adalah sesuatu yang unik buat Pyongyang, yang mana pihak berkuasa Korea Utara sentiasa berusaha dalam memberikan imej yang terbaik meskipun dikenali sebagai negara bersenjata nuklear dan sentiasa menyediakan wanita-wanita muda yang fotogenik, yang menjadi sebjek utama kegemaran di kalangan para pelancong dan wartawan.
“Mereka mewakili ibu kota,” jelas seorang pegawai kanan kementerian keselamatan awam, yang menyelia peraturan lalu lintas. “Itulah sebabnya mereka dipilih berdasarkan penampilan dan fizikal mereka.”
Peraturan sebegitu rupa adalah kerana “kebiasaannya, wanita di negara kami berkahwin pada usia 26 atau 27 tahun”, jelas pegawai itu. “Kerana peranan mereka adalah terlalu berat dan sukar, mereka hanya boleh melakukan kerja ketika mereka masih bujang.”


Wanita trafik pada asalnya diperkenalkan pada tahun 1980-an, ketika jumlah kenderaan masih jarang digunakan di jalan-jalan di Pyongyang dan masih kekal selama beberapa dekad, memberikan peningkatan yang nyata.
Sebagai sebahagian daripada pasukan keselamatan Korea Utara, mereka memegang jawatan sebagai pegawai. Kapten Senior Ri Myong-Sim, 24, berkata: “Saya perlu menjalankan setiap tugasan yang diberikan dengan berdisiplin dan semangat. Latihan yang diberikan juga amat sukar dan memerlukan pergerakan pengulangan yang meletihkan.”
“Tetapi setiap kali saya merasa putus asa, perkara yang mendorong saya untuk sentiasa fokus dalam pekerjaan saya ini adalah pemimpin kami, yang sangat peduli dan prihatin terhadap kami, yang sentiasa memantau pekerjaan kami. Jadi saya boleh berlatih sepanjang malam dan terus berlatih pada keesokan harinya tanpa rasa letih sama sekali.” Tambahnya lagi, yang sedang berdiri tegak di persimpangan Changjon di pusat Pyongyang.
Warga Korea Utara biasanya hanya menyatakan sentimen rasmi yang diluluskan kerajaan apabila ditemu bual oleh media asing. Batu obelisk ada dipaparkan di jalan raya di sana yang berbunyi: “Presiden Kim Il-Sung dan Pemimpin Kim Jong-Il sentiasa bersama kami.”
Bilangan kenderaan telah meningkat di ibu negara itu pada tahun-tahun kebelakangan ini apabila pihak berkuasa cuba meliberalisasikan ekonominya secara senyap-senyap, yang membawa kepada pertumbuhan itu walaupun menghadapi sekatan daripada PBB keatas program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang, walaupun Korea Utara masih menyimpan banyak rahsia yang terselindung di dalamnya.


Lampu isyarat telah diperkenalkan di kebanyakan persimpangan, tetapi wanita-wanita itu – yang menyatakan mereka bekerja selama satu jam, dan satu jam berehat, dan kaki mereka merasa sakit kerana terlalu lama berdiri – tidak merasa takut apabila mereka digantikan dengan lampu isyarat. Lampu isyarat ini “membantu warga dalam melakukan pekerjaan mereka dengan lebih mudah,” kata Ri.
Alat kelengkapan mereka termasuklah baju kot kapas tebal yang sesuai untuk musim sejuk – apabila nafas mereka termengah-mengah secara kerap dalam keadaan sejuk yang menggigit – dengan memegang baton lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna oren, serta pelindung matahari.
“Pemimpin kami yang hebat ini begitu prihatin dan sayang kepada mereka,” kata pegawai kementerian tersebut. “Itulah sebabnya mereka melakukan yang terbaik dalam pekerjaan mereka, untuk membalas jasa kasih sayang presiden yang dicintai lagi dihormati, Marsyal Kim Jong-Un.”
Wanita trafik adalah sebagai subjek foto pelancong yang melawat Pyongyang, kata Simon Cockerell, pengurus besar agensi pelancongan yang berpengalaman, Koryo Tours, yang telah mengetuai perjalanan ke Korea Utara selama lebih 15 tahun.
“Mereka kelihatan seperti mempuyai dua tugasan, mengawal lalu lintas dan menyerikan lagi jalan-jalan di ibu negara itu,” katanya.
“Saya tidak percaya jika para pelancong yang melawat Pyongyang tidak mengambil gambar mereka (wanita trafik).”
“Saya fikir ianya tidak berlebihan untuk menggelar mereka itu sebagai ikonik,” katanya – walaupun mereka ‘dianggap sebagai objek’ oleh para pengunjung.
Dengan masa persaraan bakal ditempuhi, Kapten Senior Ri sedang mengambil kursus latihan untuk menjadi seorang guru.
“Kami begitu fokus dalam melakukan pekerjaan kami, kami jarang dilihat sebagai suatu perhatian,” katanya sambil tersenyum. – AFP