Wanita Vietnam ditahan dipercayai terlibat pelacuran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Seorang wanita warga Vietnam dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran ditahan dalam satu serbuan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kelmarin.

Duong Phuong Linh, 33, diberkas di sebuah bilik hotel di ibu negara dan pihak polis turut menemui beberapa bahan bukti seperti minyak pelincir, paket-paket kondom serta sejumlah wang tunai bagi tujuan memberikan perkhidmatan seks di tempat serbuan itu.

Siasatan awal mendapati suspek berada di negara ini sejak Mac lalu menggunakan pas pelawat.

Suspek dan semua barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

PPDB sekali lagi menekankan bahawa kegiatan tidak bermoral atau memberikan khidmat seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti mencurigakan itu boleh melaporkan ke talian 993 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Wang tunai yang dirampas dalam serbuan berkenaan. – Gambar serahan PPDB