Wanita Vietnam ditahan disyaki terlibat aktiviti pelacuran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Seorang wanita warganegara asing telah diberkas dalam satu serbuan di sebuah hotel di kawasan Bandar Seri Begawan, semalam, kerana dipercayai terlibat menawarkan perkhidmatan seks.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh anggota Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pemeriksaan dalam bilik hotel berkenaan telah menemui beberapa barangan bukti serta sejumlah wang tunai dipercayai digunakan dalam urusan kegiatan tidak bermoral itu. Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, suspek merupakan seorang warganegara Vietnam berumur 33 tahun dan telah berada di negara ini sejak awal Mac dengan menggunakan pas pelawat.

Suspek dan kesemua barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. Kenyataan menekankan, pihak PPDB akan sentiasa membuat pemantauan dan seterusnya mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini.

Jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti berkenaan boleh melaporkan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Antara barang bukti yang dirampas semasa serbuan di sebuah hotel di kawasan Bandar Seri Begawan.