Wanita warga Brunei terlibat insiden kejar-mengejar di Lawas

LAWAS, 23 FEB – Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu seorang wanita warganegara Brunei dalam satu insiden kejar- mengejar di pusat bandar itu, hari ini.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman berkata tembakan itu adalah untuk menghentikan pergerakan kereta susulan arahan untuk memberhentikannya tidak dipedulikan wanita berkenaan setelah babak kejar-mengejar sejauh 38km.

Semasa adegan kejar-mengejar setengah jam antara polis dengan suspek, kenderaan pasukan mengalami kerosakan akibat digesel kereta wanita tersebut sebelum kereta itu berjaya dihentikan.

Dalam insiden pukul 10:30 pagi itu, wanita berumur 28 tahun berkenaan dikatakan merempuh Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok, untuk memasuki daerah itu.

Suspek dibawa ke Balai Polis Lawas untuk disoal siasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Hasil pemeriksaan lanjut, Roslan berkata suspek didapati memiliki kad pengenalan negara Brunei namun tidak memiliki pasport. – Agensi