BINTANGOR, 26 Julai – Seorang wanita warga emas, Saripah Serang, yang sakit tua, rentung setelah terperangkap dalam kebakaran Rumah Lambang, sebuah rumah panjang 38 pintu, di Sungai Tulai dekat sini tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Mohamad Hafifi Mohd Salim berkata api yang marak dengan cepat menghalang usaha anggota keluarga untuk menyelamatkan Saripah, 83.
Mayatnya dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata bomba menerima panggilan tentang kebakaran rumah panjang itu pada jam 12:17 tengah hari dan terus menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian yang jaraknya 21 kilometer dari balai tersebut.
Katanya turut digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan ialah pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei.
“Rumah panjang struktur kayu setingkat itu musnah seratus peratus. Asap tebal boleh dilihat dengan jelas dari luar. Wanita warga emas itu terperangkap di bilik nombor 17,” katanya.
Beliau berkata pihak bomba mendapatkan bekalan air dari Sungai Tulai untuk memadamkan api yang marak.
Katanya kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya jam 2:20 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang dalam siasatan. – Bernama