Wanita warga Vietnam gagal dibebaskan

SHAH ALAM, Malaysia, 14 Mac – Wanita Vietnam yang disyaki membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara gagal dalam usahanya bagi pembebasan segera hari ini apabila pihak berkuasa Malaysia menolak untuk menggugurkan dakwaan membunuh, beberapa hari selepas warga Indonesia yang dituduh bersamanya, telah dibebaskan.

Doan Thi Huong menangis apabila pihak pendakwa mengumumkan peguam negara telah menolak permohonan untuk membebaskannya dan perbicaraannya akan diteruskan. Proses perbicaraannya mengambil masa selama setahun setengah berhubung pembunuhan Kim Jong Nam pada tahun 2017 di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur.

Isnin lalu penarikan balik tuduhan membunuh yang dibuat terhadap wanita Indonesia yang dituduh bersamanya, adalah tidak dijangka, yang mencetuskan gesaan dari Vietnam supaya Huong juga dibebaskan dan mendorong peguamnya untuk memohon bagi pembebasannya.

Defendan warga Vietnam yang terpaksa dibantu keluar dari mahkamah oleh dua orang anggota polis selepas pengumuman yang mengejutkan itu sambil menangis memberitahu para pemberita “Saya sedih. Saya tidak bersalah. Saya mahu keluarga saya mendoakan saya.”

Peguam Huong berkata dia akan membuat percubaan kedua supaya dakwaan ke atasnya digugurkan dan mengkritik kegagalan untuk membebaskannya ekoran pembebasan Siti Aisyah, warga Indonesia.

Doan Thi Huong (kiri) meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan dikawal oleh polis Malaysia, kelmarin. – AFP

“Kedua-dua tertuduh berkata mereka telah diperalatkan oleh Korea Utara, kedua-dua tertuduh mengatakan mereka melakukan video olok-olok, sangat jelas wujud diskriminasi,” kata Hisyam The Poh Teik.

Kedua-dua mereka sentiasa menafikan telah membunuh, dengan berkata mereka telah ditipu oleh pengintip-pengintip Korea Utara untuk melakukan pembunuhan gaya Perang Dingin yang mengejutkan dunia dengan menggunakan agen saraf yang amat bertoksik dan percaya itu adalah olok-olok bagi rancangan realiti TV.

Peguam mereka memperlihatkan mereka sebagai orang yang diperalatkan dan berkata pembunuh-pembunuh sebenar adalah empat warga Korea Utara, yang disyaki menjadi ketua perancang di sebalik komplot lari meninggalkan Malaysia sejurus selepas pembunuhan itu.

Pihak pendakwa tidak memberi sebarang alasan mengapa dakwaan tidak digugurkan bagi Huong, 30 tahun, yang kini satu-satunya defendan dibicarakan di atas pembunuhan Kim dan boleh berdepan hukuman mati di tali gantung jika disabitkan dengan kesalahan.

Indonesia meningkatkan serangan diplomatik untuk membebaskan Aisyah, 27 tahun, manakala Vietnam hanya meningkatkan tekanan sejak pembebasan wanita Indonesia itu minggu ini. – AFP