Wany alami gangguan kebimbangan

Perkongsian pelakon, Datin Diana Danielle menerusi laman Instagram membincangkan isu penyakit gangguan kebimbangan (anxiety disorder) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menarik perhatian penyanyi, Wany Hasrita.

Penyanyi yang muncul dengan single terbaharu, Canggung turut melayangkan komen dalam entri IG Diana dengan berkongsi dirinya juga berdepan situasi yang sama.

“Hingga satu tahap nafas saya rasa seperti pendek dan tidak cukup. Ia menyebabkan saya sukar mahu tidur selama beberapa hari lalu kerana bergelut dengan masalah pernafasan. Saya menangis.

“Saya bangun pagi dan termenung atas katil. Kemudiannya, terbit rasa risau dan berfikir berlebihan mengenai masa depan serta situasi yang dilalui ketika ini. Sedar tak sedar sudah tengah hari. Saya bagaikan tak boleh bernafas dengan betul,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBP) pada tahun 2018 itu tidak mahu terus larut dengan emosi yang meresahkan itu.

Wany turut berkongsi dirinya juga berdepan dengan gangguan kebimbangan di dalam entri IG Diana Danielle yang membincangkan isu penyakit berkenaan. – Agensi

“Saya percaya ramai terkesan daripada segi mental dan fizikal dalam keadaan sekarang. Kita mula fikir itu dan ini. Saya tidak terkecuali apabila bimbang diserang panik dengan keadaan tidak terkawal ini.

“Serangan panik akan menjadi sekiranya tidak melakukan apa-apa. Saya ada bertanya kepada Profesor Dr Muhaya Mohamad berhubung penyakit gangguan kebimbangan ini. Beliau menjelaskan, ia berpunca daripada tekanan dan keterlaluan berfikir.

“Jujurnya, saya mengambil masa selama lima hari untuk kembali stabil,” kata artis naungan FMC Music itu.

Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, dia mahu kembali bertenaga dan positif dalam melalui musibah penularan COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Semua orang bergelut ketika ini. Saya kena tenangkan minda dan selalu berfikiran positif. Insya-Allah, akan lebih tenang.

“Jangan lupa panjatkan doa, lama kelamaan hilang semua rasa dan kegusaran dalam jiwa. Kita kena kuat dan melalui ujian ini bersama,” katanya. – Agensi