Wany dorong orang ramai dapat suntikan vaksin

Penyanyi lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita, 29, menasihatkan orang ramai tidak ragu-ragu mendapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti virus COVID-19.

Berkongsi pengalamannya, Wany yang mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia (WTC), minggu lalu mengakui, dalam teruja, hatinya juga turut gementar sebelum dicucuk.

“Saya mendapatkan suntikan Influenza, setiap tahun, tetapi debaran menjalani suntikan vaksin COVID-19 agak berbeza dan lebih mendebarkan.

“Mungkin saya datang dengan harapan kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa, seterusnya dapat pulang ke kampung halaman untuk berjumpa orang tua dan sanak saudara.

Alhamdulillah, proses berjalan dengan lancar, walaupun ramai beratur panjang untuk mendapatkan suntikan, tetapi prosesnya tenang dan terkawal,” katanya kepada media.

Wany yang mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia (WTC), minggu lalu mengakui, dalam teruja, hatinya juga turut gementar sebelum dicucuk. – Agensi

Wany berkata, dia menunggu dalam kereta dan hanya memasuki dewan 15 minit sebelum temujanji.

“Selain itu, proses di WTC sangat teratur. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, ramai kakitangan sedia membantu. Selepas sejam menunggu, saya selesai mendapatkan dos pertama,” katanya.

Katanya, dia selesai mendapatkan suntikan sekitar jam 4:5 petang, hanya mengalami simptom seperti demam, kira-kira jam 3 pagi. Bagaimanapun, selepas mengambil ubat penahan sakit, keadaannya kembali seperti biasa.

“Saya rasa seram sejuk dan badan sedikit panas, kira-kira jam 3 pagi. Jadi, saya bangun dan mengambil ubat penahan sakit. Badan kembali normal, tidak lama kemudian.

“Tetapi, rasa tidak selesa datang dan pergi hampir satu hari. Bagaimanapun, sebelum tidur keesokan harinya, saya menelan lagi ubat penahan sakit. Alhamdulillah, pada hari kedua, kesihatan saya kembali pulih,” katanya.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu berkata, dia tahu ramai masih ragu-ragu mengenai vaksin.

“Malah, ada yang mengambil sikap ingin menunggu. Nasihat saya, jangan ragu-ragu mendapatkan suntikan vaksin.

“Walaupun ia tidak menyebabkan tubuh kebal daripada terkena virus, setidak-tidaknya ia boleh membantu mengurangkan simptom yang lebih teruk.

“Selain itu, vaksin boleh mencegah merebakkan virus kepada orang lain. Tidak perlu rasa takut kerana ia bagus untuk melindungi kita.

“Lagipun, pengambilan vaksin boleh mencegah daripada terkena simpton teruk sekiranya dijangkiti COVID-19, tidaklah sakit teruk hingga perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Ini adalah salah satu usaha yang boleh dilakukan demi keselamatan diri dan orang sekeliling,” katanya. – Agensi