Wany Hasrita sedia jadi pelakon

Lebih tiga bulan kerjaya nyanyian terkandas akibat pandemik COVID-19, penyanyi lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita mula memikirkan perancangan masa depan.

Penyanyi berusia 27 tahun itu mendedahkan sudah bersedia beralih ke bidang lakonan sebagai sokongan kepada kerjaya nyanyian. Sebelum ini, Wany memberitahu, dia enggan berlakon kerana bimbang diminta melakonkan watak yang tidak sesuai dengan imej wanita bertudung.

Namun, melihat semakin ramai pengarah menjaga sensitiviti pelakon berhijab, hati anak kelahiran Kuala Lumpur ini terbuka untuk mencuba bidang lakonan.

“Sebelum ini, saya pernah tampil dalam sebuah telefilem tetapi peranan saya tidak besar. Sekarang, saya sudah bersedia untuk lebih serius bergelar pelakon.

“Saya bukan cerewet tapi sangat menjaga sekecil-kecil perkara kerana tidak mahu menjejaskan imej sebagai wanita bertudung. Namun, saya lihat, ramai pengarah mula menitikberatkan soal batasan pelakon.

Wany menyatakan dia perlu mencuba cabang lain selain bidang muzik semata-mata sebagai persediaan masa depan. – Agensi

“Selepas empat tahun dalam industri, saya lihat 2020 adalah tahun untuk saya menjenamakan semula Wany Hasrita.

“Lagipun dengan ujian COVID-19 yang menimpa seluruh dunia, saya tidak boleh berharap kepada bidang muzik semata-mata. Saya perlu mencuba cabang lain sebagai persediaan masa depan,” katanya kepada media.

Sebelum ini, kata Wany, dia enggan berlakon kerana menyedari kredibiliti dan kemampuannya sebagai pelakon.

“Saya rasa tidak mampu mengubah karakter dalam sekelip mata. Saya bimbang tidak dapat menghayati watak dengan emosi dalaman. Ini kerana saya jenis ‘gila-gila’.

“Selain itu, saya takut pelakon senior atau veteran terkejut dengan sikap ‘gila-gila’ saya itu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Wany tidak kisah jika digandingkan dengan pelakon lama. Malah, katanya, pengalaman berlakon di samping Raja Azura dalam sebuah drama pendek, membuka matanya terhadap bintang berpengalaman.

“Raja Azura sangat baik dan suka mengajar,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai kerjaya nyanyian, Wany berkata, dia bakal muncul dengan sebuah lagu balada ciptaan Amylea dan Farouk. Wany juga bakal berkolaborasi bersama Altimet untuk sebuah lagu yang memasukkan elemen rap. – Agensi