Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wardina rugi RM20,000 rumah disamun

    5 tahunKUALA LUMPUR, 13 Januari 2012 – Pelakon, model dan pengacara televisyen, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot kerugian RM20,000 apabila rumahnya disamun oleh tiga orang bersenjata di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa.

    Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, tiga penjenayah terbabit memasuki rumah Wardina setelah mengumpil pintu belakang rumah teres tepi dua tingkat beliau, sebelum mengarahkan kesemua anggota keluarga Wardina berkumpul.

    Ketika ditemui pemberita di rumahnya, Wardina, 33, yang masih trauma dengan kejadian itu berkata ketika kejadian itu hanya beliau, suaminya, tiga orang anak mereka dan seorang pembantu rumah berada di dalam rumah.

    “Ketika itu saya tidur berseorangan di bilik tidur utama kerana saya demam. Disebabkan itu suami saya, Ikhwan Johari, 36, tidur bersama anak bongsu lelaki saya, Imran Ar-Razi, 3.

    “Salah seorang penjenayah telah menarik selimut saya, lalu mengarahkan saya bangun dari tidur sementara penjenayah lain membawa kesemua ahli keluarga dan pembantu berkumpul di bilik tidur utama,” katanya.

    “Kesemua mereka dikumpulkan dalam bilik saya dan hanya Ikhwan diikat dengan wayar telefon. Kami diawasi oleh seorang penjenayah, manakala dua lagi menyelongkar rumah kami,” katanya.

    Beliau berkata ketiga-tiga penjenayah lelaki memaki topeng kain penutup wajah mereka dan mereka memegang pemutar skru, kayu panjang dan pemotong besi.

    Beliau berkata suaminya juga turut dipukul oleh penjenayah terbabit di bahagian muka dan kaki sebelum diikat.

    Penjenayah mengambil masa 45 minit menyelongkar seluruh rumah sebelum melarikan barang berharga termasuk lima komputer riba, empat telefon bimbit, cincin emas, kunci kereta dan wang tunai RM200.

    Katanya beliau membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada 4:30 pagi dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu serta siasatan sedang dijalankan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda