KALBA, Emiriah Arab Bersatu – Jauh dari kampung halamannya di Afghanistan, Nour akan bangun sebelum matahari terbit di kawasan bandar pantai UAE, Kalba, untuk menenun sangkar tangkapan ikan.
Lelaki berusia 50 tahun itu mengambil tempat bersama rakan-rakannya yang lain, bersembahyang dan berdoa menghadap ke arah kota suci Mekah. Kemudian dia menghirup secawan tehnya, sambil menikmati suasana sebelum memulakan pekerjaannya.
Kalba terletak di pantai timur Emiriah Arab Bersatu. Tidak seperti ibu kota Abu Dhabi, terletak 200 kilometer dari barat, yang menghadap negara-negara Teluk Arab, Kalba terletak di Teluk Oman, memandang ke arah Pakistan dan India.
Bandar ini telah menjadi sebuah hab bagi kraf pembuatan sangkar penangkapan ikan, menarik puluhan warga Afghanistan dan Pakistan ke sana untuk mencari sumber rezeki di negara teluk yang aman dan kaya dengan minyak itu.
Sangkar ikan atau jaring dawai ini,digunakan di Teluk Oman, berbentuk seperti iglu dan bujur. Ikan yang begitu popular seperti Shaeeri dan Zoubedi dapat berenang melaluinya (dalam laluan yang amat sempit), namun ia tidak akan dapat mencari jalan keluar.


“Setiap sangkar memerlukan masa kira-kira tujuh atau lapan jam tanpa henti,” jelas Nour.
Seorang bapa, mempunyai tiga orang anak, warganegara Afghanistan itu telah membawa keluarganya dari kampung halamannya, Khost, yang terletak berdekatan dengan sempadan Pakistan.
“Saya telah bekerja di sini selama sembilan tahun,” katanya.
Nour berkata dia mendapat 25 dirham (kira-kira AS$7, enam euro) setiap jaring ikan yang dihasilkan, yang mana dia mampu menghasilkan satu atau dua sangkar setiap hari. Dengan waktu pekerjaan yang sangat lama, kadang-kadang dia merasa terganggu dengan keadaan cuaca yang sangat panas dan juga pulangan yang begitu rendah, katanya.
“Saya gembira kerana saya dapat mencari rezeki di sini dan menghantar duit yang dihasilkan kepada keluarga saya pada setiap bulan,” katanya.
Dia tidak bersendirian. Selama beberapa dekad, UAE telah menarik beratus-ratus ribu warga Afganistan, Pakistan, Filipina dan juga negara-negara Asia lainnya, sanggup melakukan kerja-kerja manual buruh di sebuah negara yang kaya.
Zon perindustrian di Kalba adalah rumah kepada kira-kira 50 perusahaan kecil, milik warga Emirati dan mengambil puluhan pekerja tenunan. Majikan berkenaan telah menyediakan tempat tinggal bersama dengan makanan dan juga teh.
Penenun-penenun tersebut, berumur dari 18 hingga hingga 60 tahun, telah melakukan kerja-kerja mereka di ruang terbuka berbumbungkan jerami sebagai tempat berteduh. Tiada hari bercuti. Sebaliknya, setiap dua tahun, para pekerja ini diberikan tiket balik ke negara asal selama enam bulan untuk bercuti dengan tidak bergaji.
Bagi kebanyakan mereka, tempoh itu sungguh lama tanpa adanya pekerjaan, namun ia adalah satu syarat yang terikat dalam undang-undang buruh tempatan.
Membuat perangkap ini memerlukan satu kemahiran, pekerja-pekerja ini harus menggenggam dan mengikat wayar halus sama rata dengan serentak dan cepat bagi menghalang seluruh strukturnya rosak sebelum ianya berjaya disiapkan.
Untuk mengelakkan kecederaan, pekerja berkenaan telah mengikat potongan kain atau aluminium halus di sekitar jari mereka. Bunyi daripada siaran berita pada set TV kecil menyerikan lagi keadaan di sana yang begitu sunyi atau memainkan muzik yang dimainkan melalui telefon bimbit.


Herat, 30, kelihatan duduk di kerusi jeraminya sambil mendengarkan muzik dari siaran negara asalnya, Afghanistan. Dia menghadap cermin bagi memastikan proses pembuatannya.
“Kipas kecil ini dapat menyejukkan saya ketika musim panas yang sangat hangat,” kata Herat. Dia mengatakan bahawa suhu di sana boleh meningkat naik sehingga 50 darjah Celcius.
“Panas tidak menghalang kami untuk bekerja,” kata Herat, yang sudah tinggal di Kalba selama tiga tahun.
Akbar, seorang bapa berusia 55 tahun, berkata dia telah tiba di Kalba pada tiga dekad lalu dari bandar asalnya di Peshawar, Pakistan. Ketika dia hampir menyiapkan perangkapnya, Akbar mengatakan bahawa dia merancang untuk tinggal beberapa tahun lagi sebelum kembali ke negaranya.
“Memang betul rambut saya sudah menjadi kelabu dan memutih, namun saya masih merasa seperti orang muda,” katanya.
“Walau apa pun, tidak ada pekerjaan di Pakistan.”
Tiba-tiba, Akbar berdiri, memegang tali biru yang terikat di siling. Dia mengambil dua langkah ke belakang dan melompat ke atas sangkar berukuran semeter tinggi.
“Sudah 30 tahun dan saya masih melompat-lompat seperti ini setiap hari,” kata Akbar, sambil diberi tepukan daripada pekerja-pekerja lainnya.
Apabila matahari terbenam, jalan berpasir di kawasan kecil komuniti buruh ini akan dipenuhi dengan sangkar-sangkar yang sudah siap, setiap hari. Tetapi Nour tidak akan berhenti bekerja sehingga sebelum tengah malam.
Dia meminun secawan teh terakhirnya sambil memeriksa jumlah sangkar yang berjaya dihasilkannya selama sebulan. Nour mengatakan bahawa dia hanya akan meninggalkan Kalba jika dia mendapat pekerjaan di negara asalnya.
“Saya akan pergi apabila saya sudah tua nanti,” katanya. – AFP

































