Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Warga AITI ganding bahu agih juadah sungkai, bantuan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan AITI

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Sempena penubuhannya yang ke-20, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) telah menganjurkan Kempen Sumbangan Makanan, hari ini, sebagai sebahagian tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

    Menurut AITI, inisiatif tahunan di bulan Ramadan itu telah diperluaskan dengan aktiviti tambahan yang diharap dapat memberi impak lebih besar dalam memberi kembali kepada masyarakat.

    Dalam acara berkenaan, warga AITI telah memberi sumbangan dengan cara yang istimewa itu dengan menyediakan, memasak, membungkus dan mengagihkan juadah berbuka puasa di Pusat Belia di ibu negara, di samping menderma keperluan asas dan bantuan kewangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan, pekerja pembinaan, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan di daerah ini.

    AITI mengagihkan sejumlah 500 makanan pek kepada keluarga dan individu manakala itu, lapan buah keluarga kurang berkemampuan pula menerima hamper keperluan asas dan bantuan kewangan.

    Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dipetik berkata, majlis berkenaan adalah untuk memperingati bulan Ramadan yang mulia, di mana amal kebaikan mendapat ganjaran yang lebih besar dalam bulan ini berbanding bulan-bulan yang lain.

    “Selain itu, ia dapat membantu membina hubungan dalam kalangan pekerja AITI dan menggalakkan kerja berpasukan ke arah menyumbang untuk tujuan yang baik dan empati,” jelasnya.

    Dengan inisiatif itu, tambah beliau, penglibatan positif kalangan pekerja boleh turut menyumbang kepada misi AITI untuk menjadi organisasi berprestasi tinggi dengan rasa berkongsi akauntabiliti untuk mencapai matlamat bersama dan menggalakkan kesinambungan perbuatan baik kepada menyokong mereka yang memerlukan.

    Ia juga dapat meringankan sedikit bebanan mereka yang memerlukan selain menunjukkan komitmen AITI untuk memberi impak sosial yang positif dan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menanamkan rasa kemasyarakatan dalam diri pekerjanya.

    Warga AITI ketika bergotong-royong membungkus makanan untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.
    Gambar ramai warga AITI yang terlibat dalam acara tersebut.

    Warga AITI berganding bahu menyediakan hidangan yang hendak disedekahkan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...