Warga Amerika didakwa bunuh lelaki Thailand

SYDNEY, 14 April – Polis Australia hari ini mendakwa seorang lelaki yang diekstradisi dari Amerika Syarikat dengan pembunuhan atas kematian seorang warga Thailand, yang mayatnya ditemui dibuang di tepi jalan Sydney.

Alex Dion, 38, didakwa dengan pembunuhan Wachira ‘Mario’ Phetmang pada tahun 2018 selepas dia tiba di Sydney dari California di bawah kawalan polis.

Waran penangkapan Dion telah dikeluarkan pada September semasa dia sudah pun dalam tahanan atas tuduhan keganasan domestik di San Diego.

Mayat Phetmang ditemui oleh seorang pemandu trak Jun lalu dalam keadaan diikat dan disumbat dalam plastik, berbungkus pelindung tilam. Autopsi ke atas mayatnya mendapati lelaki tersebut mengalami lebih 20 luka di kepala dan beberapa keretakan tengkorak.

Bekas pekerja kafe dan spa berusia 33 tahun itu menetap di Australia kira-kira 10 tahun dan menjadi penduduk tetap pada waktu kematiannya.

Kali terakhir dia dilihat hidup pada 25 Mei di stesen petrol di sub bandar South Hurstville, Sydney.

Dion, seorang warga AS, yang akan dibicarakan esok di mahkamah, dipercayai telah meninggalkan Australia pada 27 Mei – lebih seminggu sebelum mayat tersebut ditemui dan identifikasi rasmi dibuat. – AP