Warga asing didakwa rakam gambar lucah budak

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seorang lelaki warga Bangladesh telah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, kerana mengambil gambar lucah budak perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh berusia 43 tahun, yang identitinya tidak didedahkan untuk melindungi mangsa, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2020 di dalam sebuah tandas awam Pasar Tani Selayun.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi mendedahkan di mahkamah bahawa gambar-gambar mangsa tular di media sosial baru-baru ini yang mencetuskan siasatan polis dan membawa kepada penahanan tertuduh.

Majistret Kanan Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim menangguhkan kes sehingga 27 November depan bagi membolehkan pihak polis menyelesaikan siasatan.

Dakwaan yang dihadapi tertuduh adalah kesalahan di bawah Seksyen 293B Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya.