Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Mahkamah Perantaraan hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan dan dua kali sebatan kepada seorang lelaki warga Bangladesh kerana melakukan pecah masuk ke sebuah kedai.
Fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud menyatakan bahawa pada pukul 10:45 malam pada 22 September, Safikul Islam sedang merokok di luar rumah rakannya berhampiran sebuah kedai perkakasan di Kampung Pintu Malim.
Tidak lama kemudian, defendan berjalan ke kawasan penyimpanan barangan kedai tersebut dan memanjat dinding untuk menaiki siling dan memasuki kedai tersebut.
Semasa berada di dalam kedai, defendan menggunakan lampu daripada telefonnya membuka laci meja dan mencuri tiga telefon bimbit. Sementara di tingkat atas, dia mencuri duit syiling berjumlah $7. Dia kemudiannyamengambil tangga dan naik ke siling untuk keluar.
Pada 23 September, pengurus kedai yang tiba di tempat kerja bersama tiga kakitangannya mula menyedari bahawa telefon bimbit dan wang tunai hilang dan terus membuat laporan polis dan memeriksa rakaman CCTV.
Pada malam 25 September, kakitangan kedai tersebut melihat defendan berada berhampiran kedai tersebut dan menangkapnya, selepas mengenali defendan dari rakaman CCTV. Dia kemudian diserahkan kepada polis. Kes dikendalikan oleh Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail.