Warga asing peluk kanak-kanak ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini mengesahkan laporan telah dibuat di Balai Polis Sengkurong selepas mereka menerima laporan ke atas suspek yang tular di media sosial.

Ia susulan gambar dan maklumat memaparkan seorang individu lelaki warga asing sedang memeluk dan memegang tubuh seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur yang dipercayai penuntut sekolah rendah.

Suspek telah berjaya ditahan untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, keanggotaan daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB telah diaktifkan bagi mengendalikan siasatan tersebut dengan lebih terperinci.

Pihak PPDB ingin menasihatkan orang ramai yang mengetahui akan sebarang maklumat mengenai kejadian ini disarankan untuk tampil bagi memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam membantu siasatan atau menghubungi terus ke talian kecemasan 993 juga atau di talian 2459500 sambungan 490 dan 333.

PPDB juga menegaskan kepada orang ramai untuk tidak lagi menularkan gambar-gambar tular berkenaan kerana dikhuatiri akan mengganggu proses penyiasatan dan mendatangkan implikasi negatif dan tanggapan yang tidak berasas terhadap kejadian sebenar.

Di kesempatan ini, PPDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa berterusan memberi bantuan dan kerjasama dalam menyalurkan apa jua maklumat kegiatan jenayah di negara ini kepada pihak polis sama ada berhubung terus ke balai-balai yang berdekatan atau
menghubungi talian kecemasan 993.