‘Warga asing’ pro-IS terkorban di Filipina

MANILA, 8 Jan – Polis telah membunuh seorang pemberontak asing semasa pertempuran kecil dengan kumpulan pro-Islamic State (IS) di selatan Filipina, kata seorang pegawai hari ini.

Pertempuran senjata meletus ketika polis sedang memburu anggota kumpulan Ansarul Khilafa Philippines (AKP) di selatan pulau Mindanao kelmarin, kata jurucakap polis tempatan, Superintenden Romeo Galgo.

“Seorang warga asing yang dikenal pasti sebagai Abu Naila dan seorang anggota perempuan yang dikenali sebagai Kadija….melawan semasa ditangkap dengan cuba melontar bom tangan ke atas kakitangan yang hendak menangkap,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis bertindak balas dengan melepaskan tembakan, membunuh kedua-duanya, tambahnya.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan mengenai kerakyatan Abu Naila walaupun sebelumnya mereka telah berkata AKP telah bersekongkol dengan militan asing.

Para pelampau dari negara-negara Asia Tenggara lain telah dikenal pasti datang ke Filipina untuk melatih pejuang tempatan terutamanya dalam penggunaan bahan letupan. – AFP