Warga asing terlibat pengedaran dadah

Gambar serahan BKN

BANDAR SEI BEGAWAN, 23 JUN – Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah berjaya mematahkan satu kegiatan pengedaran dadah dengan penangkapan tiga orang warga asing dalam lingkungan usia 33 hingga 44 tahun di dua tempat berasingan di Kampung Sengkurong dan Kampung Kilanas, pada 11 Jun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BKN, hasil daripada serbuan dan pemeriksaan ke atas kereta dan tempat kejadian telah mendapati beberapa paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu, dadah Kelas A.

Selain daripada dadah Syabu, turut dijumpai adalah alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk mengambil dadah, satu timbangan digital, telefon bimbit dan beberapa paket plastik lutsinar yang disyaki untuk kegunaan aktiviti penjualan dadah.

Dadah berkenaan dipercayai dijual dalam kalangan warga asing di Negara Brunei Darussalam.

BKN menyatakan, tangkapan tersebut masih dalam siasatan bagi pelbagai kesalahan.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi di talian 2448877 (semasa waktu pejabat), talian hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]

BKN merampas satu timbangan digital disyaki untuk kegunaan aktiviti penjualan dadah.