Warga Australia ditahan edar kokain

DENPASAR, INDONESIA, 23 JULAI – Dua lelaki warga Australia telah diberkas bersama kokain di Bali dan mungkin berdepan hukuman penjara lama jika disabit bersalah, kata polis Indonesia hari ini.

William Cabantog dan David van Iersel diarak pada persidangan media polis dengan tangan bergari dan kaki dirantai. Satu kenyataan polis berkata mereka ditahan pada Jumaat di Kelab Lost City di kawasan Canggu dengan 1.12 gram kokain.

Ia berkata Cabantog, 36, dan van Iersel, 38, masing-masing menghadapi hukuman penjara dari empat hingga 12 tahun jika mereka disabit bersalah.

Menurut polis, Cabantog, yang digambarkan sebagai seorang pakar runding hospitaliti, terkenal kerana mengedar kokain di Canggu. Kelab Lost City diuruskan oleh Van Iersel.

Tidak ada maklumat lain yang boleh diperoleh bagi kedua-dua lelaki itu.

Indonesia mempunyai undang-undang dadah amat ketat dan penyeludup yang disabit bersalah ada kalanya dihukum mati. – AP

Pegawai polis menunjukkan bukti ketika mereka mengarak warga Australia David van Iersel (belakang, kanan) dan William Cabantog (kiri) ketika persidangan media di ibu pejabat polis serantau di Denpasar, Bali, Indonesia kelmarin. – AP