BANGKOK, 26 Jan – Polis Thailand hari ini berkata mereka sedang memburu dua warga asing ekoran pelaksanaan hukuman mati gaya dunia penjenayah ke atas seorang warga Britain di peranginan pantai, tetapi tidak pasti jika kedua-dua mereka itu telah lari meninggalkan negara itu.
Tony Kenway, 39 tahun, ayah kepada empat orang anak, dibunuh pagi Selasa lalu dengan satu tembakan di kepalanya luar sebuah gim di bandar timur Pattaya.
Rakaman CCTV yang mengganggu perasaan menunjukkan seorang pembunuh dengan tenang membuka pintu kereta Porsche mangsa lalu menembaknya sekali dan kemudian melarikan diri dengan motosikal yang ditunggang oleh rakan sejenayahnya.
Polis Thailand menamakan kedua-dua tersangka itu sebagai warga Britain, Miles Dickson Turner dan Abel Caldeira Bonito, warga Afrika Selatan.
“Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap untuk mereka,” penolong jurucakap polis kebangsaan Kolonel Krissana Patanacharoen memberitahu AFP.
“Mereka bersama-sama didakwa atas tuduhan membunuh yang dirancang terlebih dahulu, pemilikan haram senjata dan juga membawa senjata tanpa kebenaran,” tambahnya.
Krissana enggan membuat spekulasi tentang motif pembunuhan itu, tetapi berkata kedua-dua tersangka itu telah dikenal pasti melalui keterangan saksi dan bukti yang dikumpulkan dalam tempoh dua hari lalu.
Bonito disyaki menjadi lelaki bersenjata itu dengan Turner bertindak sebagai pemandu bawa lari, tambahnya.
Media Thailand memetik para penyiasat tidak bernama sebagai berkata kedua-dua mereka itu mungkin telah lari ke Kemboja melalui jalan darat.
Krissana berkata para penyiasat masih berusaha mengumpulkan bukti tentang pergerakan kedua-dua mereka itu, dengan menambah kata pihak berkuasa imigresen telah dimaklumkan tentang identiti kedua-dua tersangka itu.
Media melaporkan mangsa bekerja dalam bidang IT, kerap mengunjungi gim Pattaya dan ketara menjalani gaya hidup selesa di Thailand beberapa tahun bersama isterinya warga tempatan. – AFP