Oleh Arissa
LIMBANG, 14 Sept – Seorang wanita warga Brunei mengalami kerugian RM1,455 selepas didakwa ditipu seorang kenalannya ketika melakukan urusan membeli tujuh helai kain batik Isnin lepas.
Sebaik menyedari barang yang dibeli tidak diterimanya, mangsa seorang suri rumah kemudiannya bertindak membuat laporan polis jam 1:07 tengah hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata laporan dibuat selepas mangsa menyedari dirinya ditipu, kerana suspek tidak menghantar barang berkenaan dalam masa seperti yang dijanjikan.
“Mangsa telah membeli tujuh helai kain batik melalui tiga transaksi ke akaun milik suspek. Bagaimanapun sehingga kini barang yang dibeli tidak diterima dan suspek tidak dapat dihubungi,” katanya kepada media hari ini.
Dalam kes berasingan katanya enam lelaki ditahan selepas positif dadah dalam Ops Tapis yang dijalankan baru-baru ini di beberapa lokasi berasingan di bandar ini.
Kesemua suspek yang tidak bekerja itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 51 itu ditahan di kawasan perumahan Ranggau dan Kampung Bangkita.
Beliau berkata kesemua suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine hasil ujian saringan awal polis yang dilakukan terhadap mereka.
Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, katanya dua lelaki berusia 32 dan 19 tahun ditahan petang Selasa lepas bagi membantu siasatan kes pergaduhan di hadapan Dataran Jubli Emas yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Kesemua suspek dari Kampung Patiambun itu ditahan jam 6:30 petang dan 7:20 malam dalam dua buah rumah berasingan di kampung itu.
Mohd Bukhori berkata dua lagi suspek yang juga anak beranak dari Kampung Patiambun yang melarikan diri ke Sabah kini diburu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.