Warga Czech tuntut PM letak jawatan

PRAGUE, 11 DIS – Puluhan ribu warga Czech berkumpul di tengah Prague semalam menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Andrej Babis disebabkan dakwaan penipuan.

Pendakwa membuka semula kes yang ditutup sebelumnya pada minggu lalu mendakwa beliau memperoleh wang subsidi dengan cara menipu pada 2007, empat tahun sebelum beliau menceburi politik.

Babis menafi melaku sebarang kesalahan dan enggan meletak jawatan.

Bantahan semalam diadakan walaupun selepas rapat anti-Babis pada Jun dan November, yang terbesar sejak berakhirnya fahaman komunis pada 1989.

Rapat itu, di Dataran Wenceslas, Prague, dianjur oleh Gerakan Juta untuk Demokrasi, gerakan bantahan yang dimulakan oleh pelajar yang berhasrat menyingkir Babis disebabkan kegagalan beliau membanteras rasuah.

Penunjuk perasaan melaung slogan dan memegang sepanduk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Republik Czech Andrej Babis di stesen kereta api utama di Prague, Republik Czech, pada 10 Disember. – AP

“Lelaki kulit tebal ini dengan sikap angkuhnya bahawa orang akan terpedaya dengan kata-kata dustanya bukan seorang lelaki yang harus mewakili saya,” beritahu pembantah Josef Smycka, pesara dari bandar timur Olomouc, kepada AFP.

Selain siasatan penipuan, Babis kini menghadapi dakwaan konflik berkepentingan.

Satu audit Suruhanjaya Eropah menyimpulkan bahawa kepentingan perniagaannya tidak sesuai dengan peranan politiknya, menurut dokumen bocor yang diperoleh oleh media Czech.

Audit juga mencadangkan firma beliau, Agrofert, harus memulangkan wang yang banyak dalam subsidi EU dan kerajaan.

Babis berkata beliau menukar Agrofert kepada dua dana amanah, seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Czech. – AFP