Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Warga emas aktif sebagai Youtuber seni

    ISUMI, JEPUN – Harumichi Shibasaki mencecah usia 70 tahun ketika mula-mula membuat video tunjuk ajar seni di YouTube dari rumahnya di kawasan luar bandar Jepun.

    Lima tahun kemudian, dia kini mempunyai 1.4 juta pengikut di akaun YouTube miliknya. Tidak seperti telatah kebanyakan YouTuber terkenal, warga emas ini telah memenangi hati dengan sikapnya yang menenangkan, yang dikatakan peminat membuatkan mereka berasa ‘tenang dan damai’.

    Dia juga telah meraih pengikut di seluruh dunia hasil sari kata bahasa Inggeris pada videonya yang menunjukkan teknik lukisan dan lakaran, yang kadangkala menampilkan cucu dan dua ekor kucingnya.

    “Hello. Shibasaki sini. Apa khabar semua?” pengajar seni warga emas itu berkata dalam bahasa Jepun, berhenti untuk tersenyum dan melambai.

    Lelaki berusia 74 tahun itu merakamkan segala-galanya sendiri untuk salurannya yang diberi nama ‘Watercolor by Shibasaki’ menggunakan tripod, lampu dan telefon pintar atau kamera DSLR.

    Pengajar seni Jepun Harumichi Shibasaki bergambar dengan salah seekor kucing peliharaannya ketika temui pemberita di bengkelnya di Isumi, wilayah Chiba. – AFP
    Harumichi Shibasaki menunjukkan video lukisan cat airnya yang dimuat naik ke saluran YouTube di bengkelnya. – AFP

    Harumichi Shibasaki melakukan penstriman langsung sambil menunjukkan lukisan cat airnya. – AFP
    Gambar menunjukkan plak yang disampaikan oleh YouTube kepada Harumichi Shibasaki kerana mencapai satu juta pengikut saluran YouTubenya ‘Watercolor by Shibasaki’. – AFP

    Dia juga aktif di Instagram, TikTok dan Twitter, dan berkata berhubung terus dengan dunia adalah ‘seperti mimpi’.

    “Kami tidak mempunyai TV di rumah ketika saya masih kecil,” Shibasaki memberitahu AFP berhampiran rumahnya di kawasan luar bandar Chiba, di luar Tokyo.

    “Sebagai seseorang dari generasi saya, saya tidak sangka akan ada masa seperti ini.”

    Videonya merangkumi daripada cara melukis bunga sakura hinggalah gambar kehidupan seharian, seperti memasak rebung yang digali dari kebunnya.

    Seperti kebanyakan YouTuber yang berjaya, klipnya dipenuhi dengan iklan, manakala para peminat boleh menghantar wang tunai semasa penstriman langsung atau membayar untuk mengakses rakaman ahli sahaja.

    Anak lelaki Shibasaki yang mula-mula menggalakkannya untuk menyiarkan video di media sosial, di mana peluang untuk pengajar yang berpengalaman berdekad-dekad menjangkau penonton dari seluruh dunia.

    “Saya suka mengajar, saya suka bersembang dengan semua orang. Saya boleh bercakap selama lima, enam jam!” kata Shibasaki.

    Suara yang menenangkan

    Semasa hari-hari paling membosan-kan sewaktu pandemik, bilangan pengikut Shibasaki melonjak. Dalam satu video pada bulan April 2020, dia menunjukkan kepada penonton cara melakar kucing berbulu halus, sambil berkata dia berharap lukisan bersama-sama akan membantu mereka berasa lebih baik semasa terperangkap di rumah.

    Ruangan komen dibanjiri dengan pelbagai bahasa menggelarkan video itu ‘tenang dan santai’ dan mengatakan suara Shibasaki yang menenangkan telah meninggalkan kesan ‘tenang dan damai’.

    “Penonton mengatakan saya mempunyai suara yang sangat bagus, tetapi saya tidak tahu mengapa,” dia ketawa.

    Orang ramai memberitahu penyampaiannya yang perlahan dan santai meyakinkan mereka, malah ada yang menganggap Shibasaki sebagai seorang pak cik yang menderita – dia telah menjalani pembendahan jantung enam kali.

    Kerana takut akan kesihatannya, “kematian telah menjadi gambaran mental yang konkrit,” katanya, bermakna dia boleh ‘benar-benar memahami’ masalah yang orang percaya kepadanya.

    Shibasaki suka melukis sejak kecil, tetapi sebagai anak tunggal kepada keluarga petani di Chiba, dia mengharapkan ibu bapanya meminta dia mengambil alih tanah mereka. Bagaimanapun, diatasi dengan keinginan untuk berpindah ke Tokyo dan belajar seni ketika berusia 18 tahun, dia meminta izin ibu bapanya ketika mereka sedang bekerja.

    “Mereka memikirkan masa lalu saya di sawah dan berkata saya harus pergi. Saya sangat berterima kasih untuk itu.”

    Shibasaki kemudiannya menjadi seorang guru seni dan berusaha untuk menjadikan nasihatnya mudah difahami, sama seperti dalam videonya.

    “Melukis itu menyeronokkan,” katanya. “Ia adalah satu pertempuran dengan diri saya sendiri untuk mencapai kesempurnaan. Ia menarik, dan ada rasa pencapaian.”

    Shibasaki mahu terus melukis selama yang mungkin. Apabila artis semakin tua, “penglihatan mereka semakin teruk, tangan mereka bergetar,” katanya.

    “Saya akan mencecah 75 tahun, jadi saya hanya boleh melukis dengan betul untuk lima tahun lagi atau lebih. Tetapi dalam pada itu, jika saya boleh membuat lukisan untuk ditinggalkan, itulah yang saya mahu lakukan.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...