Warga emas antara empat dicekup

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Seorang warga emas adalah antara empat yang ditahan kerana memiliki barang tegahan kastam semasa operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di dua kawasan berasingan di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Operasi pertama tertumpu di sebuah rumah di Kampung Kilanas, Mulaut, di mana JKED telah berjaya menahan seorang wanita warganegara tempatan berusia 68 tahun kerana memiliki dua botol dan 12 tin minuman keras pelbagai jenis.

Manakala hasil operasi kedua di salah sebuah bilik hotel di Kampung Kiulap telah berjaya menahan dua lelaki dan seorang perempuan berusia dalam lingkungan 17 hingga 18 tahun kerana memiliki satu botol minuman keras yang sudah dibuka, dua unit vape dan dua botol jus vape.

Kenyataan menyatakan bahawa kesemua barang dan orang yang ditahan telah dibawa ke pejabat Penguatkuasaan Undang-undang Anggerek Desa untuk siasatan lanjut.

JKED dalam kenyataan itu, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan juga larangan.

Kenyataan menegaskan bahawa memiliki barang-barang tegahan kastam menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk mengongsi maklumat berkaitan penyeludupan barang-barang tegahan atau aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi JKED di talian utama 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan. Pihak JKED memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Antara barang tegahan kastam yang ditemui semasa operasi tersebut. – Gambar serahan JKED