Warga emas aset bernilai negara

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Segala usaha untuk menambah baik apa jua perkara berkaitan dalam meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan warga emas di negara ini amat penting kerana selain kaya dengan pengalaman dan pengetahuan yang bermanfaat terutama bagi generasi muda, mereka juga merupakan aset yang amat bernilai kepada negara.

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan seterusnya berkata, “Langkah ini juga amat mustahak memandangkan statistik terkini juga menunjukkan bahawa jangka hayat di negara ini dijangka akan meningkat yang juga bermakna jumlah keramaian golongan warga emas kita juga akan menunjukkan peningkatan yang nyata.”

Oleh itu, demi menjamin kualiti kehidupan yang berkualiti bagi warga emas sebagai tanggungjawab bersama pada masa yang akan datang, fokus bagi Bengkel Pelan Tindakan Warga Emas yang diadakan sempena sambutan berkenaan, tertumpu kepada perlaksanaan Pelan Tindakan Isu Warga Emas yang telah disahkan melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).

Menurut beliau, pelan tindakan ini memberi keutamaan ke arah penglibatan warga emas dalam pembangunan masyarakat dan peningkatan perkhidmatan kesihatan kepada gologan warga emas.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menghadiri Sambutan Hari Warga Emas.

Dalam hubungan ini, tambah beliau, KKBS telah mengambil langkah bagi memastikan perancangan strategik dan hala tuju adalah selaras dengan pelan tindakan kebangsaan tersebut.

“Apa yang penting, usaha ini juga melibatkan rakan-rakan strategik kementerian termasuk pihak kerajaan, bukan kerajaan dan NGO dalam memastikan apa jua yang dilaksanakan adalah hasil daripada pendekatan dan inklusif. Apa yang dihasratkan ialah bagi pelan tindakan ini untuk dimiliki oleh semua pihak, terutamanya warga emas kita yang amat dikasihi,” ujarnya.

Majlis sambutan yang dianjurkan oleh KKBS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) ini berobjektif untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan ikatan kekeluargaan, penjagaan, perlindungan dan kemudahan berkaitan ke arah peningkatan kualiti hidup warga emas agar sentiasa menghormati dan menghargai mereka yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Sambutan juga bertujuan untuk memberikan galakan dan sokongan dalam memperkasa golongan warga emas untuk meneruskan bakti dan bergiat aktif meningkatkan taraf kehidupan warga emas.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan pencak silat dan persembahan alat muzik tradisional yang dinamakan ‘Kasapi’ dan diiringi dengan gulintangan dari Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong.

Acara kemuncak bagi sambutan ini adalah Bengkel Pelan Tindakan Warga Emas yang bertujuan untuk membincangkan dan meneliti Pelan Tindakan Warga Emas dengan memfokuskan kepada perkara kemasyarakatan, kewangan, kesihatan dan keagamaan.

Dengan adanya bengkel ini diharapkan dapat mengumpulkan maklumat, pendapat dan penyelesaian bagi merancang serta menambah baik apa jua perkara yang berkaitan dalam meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan warga emas di negara ini.

Seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada warga emas dari PKWE Lambak Kanan, PKWE Daerah Tutong dan Pusat Masyarakat Bestari (PMB) Kampung Pandan Kuala Belait telah menyertai bengkel tersebut.

Lapan orang fasilitator pada bengkel tersebut terdiri daripada wakil-wakil daripada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM); LiveWIRE Brunei; Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Pusat Dakwah Islamiah dan Kementerian Pendidikan.

Pada sebelah petang, bengkel ditutup oleh Dr Hajah Ra’yah binti Mohd Ali dengan penyampaian resolusi yang turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di KKBS, Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

Fokus utama Hari Warga Emas ‘menghormati dan memperingati jasa bakti golongan warga emas’ masih dikekalkan pada sambutan tahun ini kerana ia masih relevan untuk ditangani.

Menurut perangkaan Pencen Umur Tua JAPEM, bilangan warga emas yang menerima pencen umur tua di negara ini semakin meningkat dan menjelang tahun 2030, Negara Brunei Darussalam akan meningkat menjadi ‘negara tua’ dan akan mempunyai lebih ramai penduduk warga emas, tiga kali ganda pada 2050.