Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Warga emas berhak penjagaan, kebahagiaan hidup

    KUALA LUMPUR – Emak dan ayah boleh membesarkan 10 orang anak tetapi belum tahu 10 orang anak itu dapat menjaga emak dan ayah apabila mereka menjadi tua, sakit dan tidak berdaya lagi.

    Ungkapan ini sering kita dengar apabila timbul isu penjagaan orang tua atau warga emas. Sudah tentu golongan ini memerlukan penjagaan berkualiti serta kasih sayang tetapi kemungkinan apa yang diharap tidak kesampaian apabila anak-anak mungkin sudah berkeluarga dan sibuk dengan pekerjaan.

    “Memang bukan mudah untuk menjaga orang tua, seperti yang saya hadapi sendiri,” demikian pengakuan Abdul Hadi Zulkifli, 30, kepada Bernama baru-baru ini.

    Beliau yang bertugas sebagai guru sekolah rendah di Cheras, Kuala Lumpur berkongsi kebimbangannya tentang nasib serta masa hadapan emak dan ayahnya yang kini tinggal di Rembau, Negeri Sembilan.

    Abdul Hadi mengakui meskipun anak mungkin menghadapi kesulitan membahagi masa dengan tugas serta keluarga sendiri, kepentingan, kesihatan serta keperluan emak dan ayah masih perlu dititikberatkan.

    Prof Madya Dr Siti Suriawati Isa berpandangan pengurusan kemudahan penjagaan warga emas perlu mempunyai perancangan serta program terperinci untuk penghuninya. – Bernama
    KLW bukan sahaja menyediakan kemudahan tempat tinggal tetapi juga perkhidmatan penjagaan warga emas professional. – Bernama
    Komune Living & Wellness (KLW) yang terletak di Cheras, KL. – Bernama

    Masalah yang dihadapi oleh Abdul Hadi ini bukan isu terpencil malah satu isu besar yang membawa kepada pembukaan pusat penjagaan warga emas untuk anak-anak yang mungkin tidak dapat memberikan masa yang sepatutnya untuk kepentingan ibu dan ayah mereka.

    Antara pusat penjagaan ini ialah Komune Living & Wellness (KLW) yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur dan meliputi kawasan seluas kira-kira 40 hektar. KLW mula beroperasi pada 12 Mei 2022.

    Menurut Pengurus Besar KLW, Mark Chen, KLW adalah hab penjagaan dan kemudahan warga emas terbesar di Asia Tenggara, dibangunkan khusus bagi memastikan golongan berkenaan hidup dalam keadaan sihat dan gembira di usia tua mereka.

    Penjagaan warga emas terbaik
    KLW bukan sahaja menyediakan kemudahan tempat tinggal tetapi juga perkhidmatan penjagaan warga emas profesional, Perubatan Tradisional Cina (TCM) serta banyak lagi pilihan untuk penghuni dan tetapi juga mereka yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan.

    “Kami maklum stigma dan rasa bersalah untuk anak menempatkan orang tua mereka di pusat penjagaan.

    “Itu sebabnya mengapa kami menyediakan konsep baharu penjagaan warga emas dengan kemudahan bertaraf dunia. Ini membolehkan warga emas menikmati kehidupan yang seronok untuk keluarga mereka datang menziarahi dan boleh juga menginap,” katanya.

    Chen memberitahu Bernama, matlamat KLW adalah untuk mewujudkan komuniti yang selamat untuk warga emas yang membolehkan mereka hidup aktif dan terjaga kesihatan fizikal serta mental dengan kemudahan serta sokongan KLW.

    “Banyak penyelidikan menunjukkan jalinan komuniti serta sosial adalah faktor utama untuk mengekalkan kesihatan serta kehidupan usia tua yang panjang.

    “Falsafah ini yang mendorong kepada pembukaan KLW yang menawarkan persekitaran kehidupan yang terbaik untuk warga emas disokong dengan pelbagai kemudahan berkualiti tinggi serta kemudahan perubatan,” tambah Chen.

    Pelbagai kemudahan
    Antara kemudahan yang boleh dinikmati oleh penghuni serta tetamu KLW ialah kolam renang yang dipanaskan, pawagam dan gimnasium yang mempunyai kelengkapan khas.

    “Terdapat juga pasar raya mini, farmasi, salon kecantikan dan salon rambut di samping pusat penjagaan kanak-kanak.

    “Untuk perkhidmatan perubatan, kami menyediakan antaranya doktor perubatan am, doktor gigi, ambulans, perkhidmatan saringan, klinik estetika perubatan dan malahan klinik anti-penuaan seperti rawatan sel stem,” jelas Chen.

    Menurut beliau perkhidmatan holistik kesihatan lain dibuat secara perkongsian antara Kumpulan UOA dan pakar kesihatan Tong Xin Tang, Perubatan Tradisional Cina (TCM) yang terkenal untuk membantu mereka yang berminat dalam perubatan holistik termasuk mengurut dan akupunktur.

    Terdapat lebih 50 bilik perundingan serta rawatan untuk perkhidmatan berkenaan.

    Chen menambah, penghuni warga emas di KLW juga boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan penjagaan tambahan yang disediakan oleh Komune Care – jalinan kerjasama antara Kumpulan UOA dan Care Concierge, pakar kehidupan warga emas tempatan.

    “Komune Care terdiri daripada 260 suite juga kemudahan penjagaan harian warga emas dan kesemua ini meliputi kawasan seluas kira-kira 2,011 meter persegi, menjadikannya yang terbesar di Malaysia.”

    “Perkhidmatan ini dikendalikan oleh jururawat dan penjaga yang berpengalaman. Pelbagai kegiatan diatur yang bersesuaian dengan keperluan penghuni termasuk program terapi muzik yang pernah memenangi anugerah,” katanya.

    Chen berkata, penghuni boleh memilih jenis penginapan sama ada berbentuk berdikari atau dibantu. The Independent Living Studio sesuai untuk pesara yang aktif dan boleh berdikari tetapi boleh juga mendapatkan tambahan perkhidmatan khas seperti pakej penjagaan sepenuh atau separuh masa, sistem respons kecemasan, perkhidmatan iringan perubatan dan pelan makanan berkhasiat.

    Sementara itu, The Assisted Living Unit (ALU) adalah lebih untuk warga emas yang memerlukan penjagaan sepanjang masa. Bayaran untuk the Independent Living Studios bermula daripada RM2,100 sebulan dan untuk ALU bermula daripada RM6,800 sebulan.

    Buat masa ini purata 15 peratus daripada 55 buah unit ALU mempunyai penghuni.

    Meningkatkan sektor pelancongan perubatan
    Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Siti Suriawati Isa berpandangan, pengurusan kemudahan penjagaan warga emas perlu mempunyai perancangan serta program terperinci untuk penghuninya.

    Beliau turut berkata, kerajaan Malaysia juga perlu proaktif dalam menganjur kegiatan untuk komuniti berkenaan.

    Ini memandangkan kemudahan penjagaan warga emas seperti KLW amat diperlukan memandangkan perubahan corak kehidupan kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja, tambahan upah untuk pembantu rumah kini menjadi semakin mahal. Untuk itu, beliau berkata, kemudahan penjagaan warga emas adalah pilihan terbaik.

    “Kita perlu bersedia kerana Malaysia diramal akan mencapai Status Negara Tua dan dianggarkan 15 peratus penduduk Malaysia akan berusia 60 tahun ke atas pada tahun 2030.

    “Pada masa ini, kerajaan memperkenalkan banyak bantuan serta program untuk warga emas di Malaysia tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dalam penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan, perancangan bandar dan perkhidmatan sosial,” katanya.

    Beliau menambah, dengan memperbaiki kemudahan penjagaan kesihatan untuk warga emas, ia akan memberi impak positif kepada sektor pelancongan perubatan Malaysia.

    Menurut beliau, pelancongan perubatan di Malaysia memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara sejak lebih sedekad lalu.

    “Sejak tahun 2015, negara kita termasuk dalam kumpulan 10 tertinggi untuk destinasi pelancongan perubatan di dunia. Pada tahun 2019, kita menerima 1.3 juta pelancong perubatan dan sekiranya kita dapat memperbaiki kemudahan untuk penjagaan warga emas, Malaysia akan dapat menarik lebih ramai pelancong perubatan. Tambahan, empat pusat penjagaan perubatan swasta di negara ini menerima anugerah berprestij sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 di London.

    “Dengan pembukaan sempadan dunia sewaktu fasa transisi endemik COVID, jumlah pelancong antarabangsa ke Malaysia agak ramai termasuk pelancong perubatan. Pasaran domestik untuk sektor dijangka terus berkembang secara positif kerana ramai rakyat Malaysia masih belum bersedia ke luar negara.

    “Bagaimanapun, untuk golongan warga emas, adalah lebih baik untuk tidak melakukan perjalanan jauh dari rumah kerana keadaan pandemik yang belum berakhir sepenuhnya. Dalam masa yang sama penjagaan kesihatan swasta adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia mendapatkan rawatan berbanding perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan yang mengambil masa yang lama,” nasihatnya.

    Dalam soal ini, Dr Siti Suriawati mencadangkan penjagaan kesihatan swasta memberi tumpuan kepada pasaran domestik mereka di samping antarabangsa serta memperbaiki mutu perkhidmatan.

    Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan yang lebih besar kepada pusat penjagaan kesihatan awam dan menambah baik kemudahan serta perkhidmatan bagi kepentingan semua pihak. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...