Warga emas celik teknologi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah meneruskan lagi Program Latihan Kemahiran Digital bagi warga emas di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Tutong yang berlangsung selama tiga hari hingga kelmarin.

Seramai 25 orang warga emas telah menyertai program berkenaan yang bermatlamat untuk membantu warga emas menjadi celik digital supaya mereka dapat memanfaatkan pelbagai aktiviti berguna yang ditawarkan teknologi.

Ia merupakan lanjutan daripada sesi pertama pada Oktober lalu di PKWE Brunei dan Muara.

Program berkenaan dikendalikan dengan kerjasama daripada sektor-sektor kerajaan dan swasta dengan pembentangan dan demonstrasi praktikal dijalankan oleh para pelatih dan pemudah cara dari Jabatan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) serta perwakilan dari syarikat-syarikat e-perdagangan seperti Naindah.com dan Rotuku.com.

Program berkenaan meliputi pelbagai topik termasuk kemahiran-kemahiran asas ICT, keselamatan dan sekuriti dalam talian, pengenalan kepada e-perdagangan dan peluang-peluangnya, aplikasi-aplikasi mudah alih yang berguna, membeli-belah dalam talian serta transaksi dalam talian.

Latihan telah diakhiri dengan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga penghulu Mukim Tanjong Maya dan pemangku penghulu Mukim Pekan Tutong selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir pada majlis penyampaian sijil berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Para peserta bergambar ramai bersama Yang Berhormat Haji Abdul Wahab dan Pengiran Haji Mohd Zain sambil menunjukkan sijil masing-masing. – Gambar oleh AITI