Warga emas didakwa lakukan persetubuhan dengan kucing

JOHOR BAHRU, 25 APRIL – Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan seekor kucing.

Bagaimanapun, hukuman ke atas Janting Keling, 63, belum diputuskan memandangkan pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan untuk serahan dokumen pada 25 Mei ini.

Janting didakwa sengaja melakukan persetubuhan bertentangan itu sehingga menyebabkan kucing itu mati.

Kejadian berlaku di kawasan taman permainan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada 4:30 pagi 16 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S.Thiviya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Janting yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia tidak bekerja.

Dia juga mendakwa berasal dari Sarawak dan datang ke Johor dan tinggal bersama anaknya di sini.– Bernama