Warga emas didenda miliki barangan seludup

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Seorang lelaki penduduk tetap warga emas telah diperintahkan untuk membayar denda $7,200 setelah mengaku bersalah kerana memiliki minuman keras seludup.

Cham Joon Juan akan terpaksa menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mendengar daripada pihak pendakwa kastam bahawa tertuduh didapati menyimpan 43 botol wain tidak diisytiharkan di sebuah rumah di Jalan Maulana, Kuala Belait oleh pegawai kastam dalam pemeriksaan yang dilakukan pada 5:16 petang, 4 September lalu.

Mahkamah juga memerintahkan agar minuman keras yang dirampas tersebut untuk dimusnahkan.