Warga emas dihadapkan ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memiliki minuman keras dan rokok tanpa cukai di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006 dalam kejadian pada Mac 2018.

Tidak ada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ang Thian Wee berusia 67 tahun yang juga berdepan tuduhan di bawah Seksyen 18(1) Akta Hiburan Awam, Penggal 181 dalam kejadian sama.

Menurut kertas pertuduhan, agensi penguatkuasaan melibatkan pasukan polis dan kastam semasa menjalankan pemeriksaan di sebuah hotel di Anggerek Desa pada 11 Mac 2018 menemukan 110 botol arak, 354 tin bir dan 67 paket rokok yang tidak diisytiharkan di ruang istirahat yang terletak di tingkat dua hotel.

Kesalahan di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006 memperuntukkan denda tidak kurang daripada enam kali ganda jumlah duti eksais atau $40,000, yang mana lebih rendah, dan tidak melebihi 20 kali ganda jumlah duti eksais atau $40,000, yang mana lebih besar, dan untuk kesalahan seterusnya juga denda, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa menyediakan tempat hiburan awam dalam bentuk mesin permainan video di ruang istirehat tersebut tanpa mendapat kebenaran.

Seksyen 18(1) Akta Hiburan Awam membawa denda maksimum $10,000 untuk kesalahan pertama, dan $20,000 dan dua tahun penjara bagi kesalahan seterusnya.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menangguhkan sebutan untuk memberi masa kepada tertuduh mendapatkan khidmat peguam.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin dan kes akan disebut lagi pada 14 Mei 2020.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula.