Warga emas diseru segera dapatkan vaksinasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Warga emas di negara ini diseru mendapatkan suntikan vaksin dengan segera kerana vaksinasi dalam kalangan mereka adalah sangat penting bagi mencegah kesan jangkitan COVID-19 yang teruk.

Ini berdasarkan data dari Pusat Pengasingan Kebangsaan mendapati kes-kes positif bagi pesakit berusia 60 tahun ke atas adalah lima kali lebih mudah dimasukkan ke dalam Kategori 5 dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, hanya 88.7 peratus rakyat dan penduduk negara ini yang berumur 60 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

“Ini bermakna lebih dari 5,000 orang warga emas masih belum mendapatkan vaksin.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan mende-dahkan data kes positif dalam kalangan warga emas. – Gambar oleh Muiz Matdani

Vaksinasi terutamanya di kalangan warga emas adalah sangat penting bagi mencegah kesan COVID-19 yang teruk,” tekannya lagi.

Manakala ketika menyentuh mengenai program vaksinasi negara, Yang Berhormat Dato menjelaskan, seramai 6,750 orang menerima suntikan vaksin pada 5 Oktober dan ini bermakna seramai 315,130 orang telah menerima satu dos vaksin iaitu 69.5 peratus daripada jumlah penduduk negara.

“Manakala, 203,947 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 45 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Beliau turut memaklumkan masih terdapat slot-slot kosong bagi 7 Oktober.

“Terdapat 1,400 slot di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan 560 slot bagi Pusat Vaksinasi Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong yang masih dibukakan untuk tempahan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mengisi slot tersebut disyorkan membuat tempahan melalui aplikasi BruHealth.