Warga emas diseru tabur bakti

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 10 Julai – Warga emas amat kaya dengan pengalaman dan sumber pengetahuan yang dapat dimanfaatkan oleh generasi muda sebagai panduan cara hidup.

Mereka juga merupakan aset yang sungguh bernilai dalam menyumbangkan buah fikiran dan tenaga ke arah pembangunan negara dengan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada dan sumbangan mereka kepada masyarakat adalah masih diperlukan.

Oleh itu, warga emas diseru untuk sentiasa menabur bakti demi meraih yang terbaik untuk bangsa dan negara.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Tutong di Dewan Serbaguna Kampung Serambangun, Tutong, pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, PKWE Tutong akan dapat menjadi penanda aras dan juga model peranan bagi mana-mana pertubuhan dan pergerakan dalam mengendalikan projek-projek terutamanya projek yang melibatkan warga emas yang mana ia merupakan langkah pencapaian aspirasi Wawasan 2035 iaitu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini.

Gambar ramai ahli-ahli PKWE Tutong yang hadir bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Dewan Serbaguna Kampung Serambangun, Tutong.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menerima cenderahati daripada Pengurus PKWE Tutong, Haji Metamit dan pengerusi majlis, Imam Haji Hamaffi.
Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin turut hadir pada majlis tersebut.

Sejak penubuhan PKWE Tutong, keahlian pusat telah meningkat kepada 280 orang yang terdiri daripada pelbagai masyarakat dan puak dari lapan buah mukim di Daerah Tutong.

Dengan keahlian yang semakin bertambah, Yang Berhormat Dato percaya bahawa pusat berkenaan mampu bergerak lebih kehadapan dan mampu menandingi mana-mana pertubuhan dan pergerakan serta mampu melihatkan kepada dunia bahawa warga emas memang setanding dengan emas dan sangat berharga bagi negara.

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan pentas seperti nyanyian, deklamasi sajak, persembahan Syair Hari Raya dan ucapan raya.

Antara tujuan majlis itu diadakan adalah bagi memperingati Sambutan Ulang Tahun Pertama Penubuhan PKWE Tutong di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim diantara ahli-ahli pusat berkenaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terlibat.