Warga emas ditemukan mati

MIRI, 9 OKT – Seorang lelaki warga emas ditemukan mati di sebuah rumah kawasan perumahan di Lorong 7, Krokop, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata mayat Lim Chai Hock, 74, lelaki warga tempatan itu ditemui setelah pihaknya menerima laporan orang awam yang menghidu bau busuk dari rumah tersebut pada pukul 10:16 pagi. “Polis rondaan yang tiba ke lokasi mendapati semua pintu pagar serta pintu hadapan ditutup dan bau busuk yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata mangsa tinggal seorang diri di rumah itu manakala isteri dan anaknya tinggal di Semenanjung.

Lim berkata setelah mendapat bantuan bomba untuk membuka pintu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan berbaring telungkup dan sudah reput. – Bernama