Warga emas, frontliner terima Dos penggalak

PUTRAJAYA, 13 OKT – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lepas, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberikan kepada seseorang yang belum mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun perlindungan tersebut menurun dari semasa ke semasa.

Khairy dalam satu kenyataan hari ini berkata pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin itu, Khairy berkata klinik swasta akan memberikan vaksin kepada anggota barisan hadapan serta warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

Fasiliti kesihatan kerajaan pula akan memberikan vaksin kepada anggota kesihatan masing-masing manakala fasiliti kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi anggota barisan hadapan ATM, katanya.

Khairy berkata pemberian dos penggalak akan melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech dahulu dan individu terbabit akan menerima vaksin yang sama (Comirnaty).

Ini kerana hanya vaksin Comirnaty yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober lepas, katanya.

Khairy berkata pemberian dos tambahan pula akan diberikan kepada individu yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit kanser, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis memandangkan pemberian dos lengkap tidak cukup untuk memberikan perlindungan optimum kepada mereka.

“Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin COVID-19,” katanya.

Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis yang sama (homologous) atau berlainan (heterologous) dengan dos terakhir, katanya.

Khairy berkata KKM juga merancang untuk memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan. – Bernama