Warga emas gigih bekerja, tak lupa bersedekah

JELEBU – Biarpun berpendapatan sederhana dengan hanya menjual lemang dan rendang di tepi jalan namun ia tidak menghalang Rebiah Jantan berkongsi rezekinya dengan menunaikan zakat daripada hasil keuntungan jualan hampir setiap minggu.

Warga emas berusia 67 tahun itu mesra disapa sebagai ‘Che Yah’ berkata beliau membayar zakat di Pusat Zakat dan masjid mengikut kemampuannya demi mendapat keberkatan dalam kehidupan. Bersyukur dikurniakan tubuh badan yang sihat, Rebiah masih mampu berjalan kaki ke hutan mencari buluh, kayu untuk memasak lemang, rendang serta dodol untuk dijual setiap hujung minggu bagi menampung keperluan harian keluarganya yang turut dibantu anak serta cucu-cucunya.

“Makcik mula menjual lemang serta beberapa makanan lain ini sejak lima tahun lepas, selalunya memang setiap minggu makcik akan bersedekah hasil keuntungan jualan ini walaupun jumlahnya tidaklah banyak tetapi masih cukup untuk membayar zakat.

“Makcik berasa tenang apabila dapat bersedekah dengan hasil pendapatan sendiri, anak-anak serta cucu banyak membantu dan mereka juga memberikan belanja bulanan kepada makcik dan pakcik. Makcik ikhlas lakukan kerja ini walaupun sudah berusia,” katanya kepada Bernama.

Kisah sikap terpuji Rebiah itu turut mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang memuat naik video mengenai ‘Che Yah’ sebagai penjual lemang di Kampung Rembai Baris, Ulu Klawang, Jelebu memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira jurang pendapatan dalam tanggungjawab menunaikan zakat.

Rebiah Jantan memeriksa lemang yang dibakar untuk dijual kepada orang ramai digerainya yang terletak di bahu jalan Kuala Klawang-Seremban, baru-baru ini. – Bernama

Rebiah berkata setiap hujung ming-gu beliau akan menjual 14 hingga 20 batang lemang berharga daripada RM10 hingga RM12 mengikut saiz serta rendang dan dodol. Katanya beliau bersyukur, rata-rata pelanggan yang membeli jualannya membayar lebih daripada harga ditetapkan dan Rebiah akan menggunakan keuntungan itu untuk membayar zakat secara mingguan.

Rebiah turut berkongsi kisah kehidupannya lebih 20 tahun lepas iaitu rutin harian berjalan kaki ke hutan hampir sejam demi membantu suaminya Yazid Mahat menambah pendapatan keluarga.

Kecekalan Rebiah bukan sahaja mampu ke hutan sendirian memotong buluh serta mencari kayu, ibu kepada lapan orang anak itu pernah mengendong anak bongsunya berusia lapan bulan ke hutan untuk melakukan kerja-kerja kampung suatu ketika dahulu.

Rebiah berkata walaupun pernah melalui kehidupan serba kekurangan itu, beliau dan suami masih mampu memberikan pendidikan terbaik untuk kesemua anak-anaknya tanpa meminta bantuan sokongan daripada mana-mana pihak. – Bernama