Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas hiburkan jiwa pesakit di hospital dengan muzik

    GUANGZHOU – Di lobi pesakit luar di sebuah hospital di Guangzhou, ibu kota Wilayah Guangdong, selatan China, bunyi piano yang merdu kedengaran di udara, membawa kehangatan kepada pesakit. Lagu melodi itu di-sumbangkan oleh pemain piano wanita berusia 89 tahun, Wu Pinxian.

    Wu merupakan pemain piano sukarela di Hospital Pusat Panyu Guangzhou. Setiap Khamis, dia menaiki teksi dari rumah jagaan tempat dia tinggal menuju ke hospital itu dan menawarkan persembahan piano secara percuma kepada pesakit dan kakitangan.

    “Kesihatan mental dan fizikal kedua-duanya penting. Saya harap dapat menghiburkan jiwa pesakit dengan muzik saya,” kata Wu.

    Dilahirkan di Guangzhou, dia meminati muzik sejak kecil.

    “Ketika saya masih kecil, saya sering menonton opera Kantonis bersama keluarga dan jadi saya jatuh cinta dengan muzik,” kenang Wu. Semasa dia di sekolah menengah rendah dan sekolah biasa, dia mula belajar bermain piano dan boleh memainkan beberapa karya mudah.

    Gambar Freepik

    Selepas dia bekerja dengan persatuan wilayah untuk sains dan teknologi, Wu menjadi terlalu sibuk untuk menikmati hobi kegemarannya. Sehingga bersara barulah dia berpeluang untuk meminati muzik semula. Dia belajar bermain alat muzik tali tradisional Cina, erhu, di universiti untuk warga emas.

    Tahun lepas, Wu berpindah ke rumah jagaan, di mana dia mengetahui bahawa hospital itu sedang merekrut sukarelawan untuk bermain piano. Dia segera mendaftar.

    Kerana penglihatannya yang lemah, dia tidak dapat melihat skor muzik dengan jelas, jadi dia perlu menghafalnya sebelum dia pergi ke hospital.

    Luo Zhenkui, pegawai hospital itu, berkata bahawa hospital berkenaan melancarkan projek sukarelawan yang menawarkan perkhidmatan muzik tahun lepas, bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan pesakit dan mewujudkan persekitaran perubatan yang lebih baik.

    “Kini ramai anak muda, termasuk pelajar, telah menyertai kesukarelawanan,” kata Luo.

    Pada akhir Januari, Wu telah dijemput untuk membuat persembahan di konsert tahun baharu yang diadakan oleh hospital tersebut.

    Bersama seorang pelajar sekolah rendah, dia memainkan lagu Kantonis dan menerima tepukan gemuruh.

    Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani cabaran penduduk yang
    semakin tua, China baru-baru ini mengeluarkan garis panduan, menyokong warga tua untuk mengambil bahagian dalam sektor seperti hal ehwal awam, kedermawanan dan perkhidmatan sukarela.

    “Saya sanggup melakukan perkara yang baik untuk saya dan orang lain, seperti bermain piano,” kata Wu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda