PUTRAJAYA, 1 DIS – Warga emas dan individu dengan komorbiditi disaran tidak membuat perjalanan ke luar negara buat masa ini dan mengelakkan kawasan awam yang sesak susulan kewujudan varian Omicron yang membimbangkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada masa sama turut menasihati rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara untuk sentiasa mematuhi amalan keselamatan COVID-19 terutamanya ke negara yang masih tidak melaporkan kewujudan varian berkenaan dan negara yang disenarai sebagai berisiko tinggi.
“Di Eropah contohnya, semakin longgar (prosedur operasi standard COVID-19), warganegara Malaysia yang ingin ke destinasi luar disaran terus mematuhi peringatan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun berada di luar negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Beliau berkata rakyat Malaysia di dalam negara turut diingatkan untuk meningkatkan langkah pencegahan dan sentiasa mengamalkan TRIIS iaitu ‘Test, Report, Inform, Isolate dan Seek’.
Beliau berkata KKM kini juga dalam proses memuktamadkan sistem ‘heightened alert’ yang berupaya mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 dalam negara, selain mengemas kini Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan varian Omicron. – Bernama