Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Warga emas kekal aktif dengan teknologi digital

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Negara Brunei Darussalam, bersama negara-negara anggota Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) memperingati Hari Masyarakat Maklumat dan Telekomunikasi Sedunia (WTISD) pada 17 Mei setiap tahun.

    Tema pada 2022 ialah Digital Technologies for Older Persons and Healthy Ageing yang menekankan pentingnya peranan ICT dalam membolehkan warga emas untuk terus sihat, berhubungan dan berdikari, membolehkan mereka untuk mengambil bahagian dalam dan menyumbang kepada masyarakat.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), baru-baru ini, mengongsikan bahawa antara tahun 2015 dan 2050, kadar penduduk dunia yang berusia lebih 60 tahun akan meningkat hampir dua kali ganda daripada 12 peratus kepada 22 peratus dengan kadar penuaan penduduk adalah lebih cepat daripada dahulu.

    Di Negara Brunei Darussalam, kadar penuaan dalam negara juga meningkat di mana setakat 2021, sejumlah 10.1 peratus penduduk keseluruhan atau 43,301 orang adalah berusia 60 tahun dan ke atas berbanding dengan 5.7 peratus atau 22,386 pada 2011, jelas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof (gambar) dalam perutusannya sempena WTSID 2022, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini.

    Dalam perutusan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa penggunaan teknologi digital telah meningkat secara signifikan, terutamanya baru-baru ini semasa pandemik COVID untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

    Ia telah membawa kepada lebih permintaan untuk penyelesaian, perkhidmatan digital dan menyeru bagi keperluan untuk memperoleh kemahiran asas digital.

    Dalam perutusan itu lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa setakat September 2021, kira-kira 80,000 orang pelanggan kediaman jalur lebar kekal telah direkodkan yang diterjemahkan kepada hampir 76 peratus kediaman di Negara Brunei Darussalam.

    Bagi Negara Brunei Darussalam, adalah amat menggalakkan untuk mengambil maklum bahawa penduduk umum termasuk warga emas telah menyesuaikan diri kepada norma baharu dengan merangkul teknologi digital.

    Teknologi itu telah membolehkan warga emas kita, ulas Yang Berhormat Dato, untuk kekal aktif dalam masyarakat termasuk mengendalikan konsultasi kesihatan, mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti keagamaan dan berkomunikasi dengan orang tercinta, kesemuanya secara atas talian atau maya.

    Satu inisiatif untuk membantu membangunkan kompetensi digital bagi individu termasuk warga emas ialah menerusi Digital Skills Training Programme for Senior Citizens, yang dikendalikan oleh AITI sejak Januari 2020 dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta sektor swasta.

    Beliau menjelaskan bahawa program itu telah membantu lebih 100 warga emas untuk menjadi sebahagian masyarakat sedia digital dengan menawarkan latihan kemahiran ICT asas termasuk e-dagang, sekuriti dan keselamatan serta perbankan dalam talian.

    Negara Brunei Darussalam kekal komited dalam usahanya untuk membina sebuah masyarakat digital inklusif.

    Warga emas memainkan peranan penting dalam menurunkan ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan pengalaman mereka kepada generasi muda.

    Oleh itu, tambah Yang Berhormat Dato, dengan membolehkan persekitaran digital yang lebih kondusif untuk semua kumpulan usia, kita berusaha untuk memastikan bahawa tiada sesiapa ketinggalan dan berada di luar talian (offline) semasa kita meneruskan usaha memacu Brunei menjadi sebuah negara pintar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...