Warga emas manfaatkan herba tradisional

MERSING – Seorang warga emas di Pulau Tinggi memanfaatkan sumber alam untuk dijadikan minuman herba tradisional, yang didakwanya sedikit sebanyak mempunyai khasiat tersendiri.

Mariam Mamat, 76, berkata berikutan penularan wabak COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia menjadi takut untuk turun ke tanah besar sekali gus menyebabkan bekalan ubat darah tingginya semakin berkurang.

Justeru itu, dia memanfaatkan sumber alam yang terdapat di hutan belakang rumahnya serta tumbuhan herba yang ditanam di hadapan rumah sebagai alternatif.

Sejak turun temurun keluarganya mengamalkan minuman herba itu, selain mendapat permintaan terutama daripada golongan wanita baru bersalin.

“Saya buat sendiri minuman herba itu. Antara bahannya ialah akar dan daun pokok tampang besi, akar dan daun pokok sembung, lengkuas, jerangau, kulit jambu, buah serta daunnya dan pelbagai lagi,” kata warga emas itu ketika ditemui di Pulau Tinggi.

Mariam, yang kematian suami sejak 27 tahun lepas, mempunyai 11 cahaya mata. Dia percaya minuman herba itu juga dapat meredakan bisa tulang dan sakit perut.

“Akar dan tumbuhan herba itu saya jemur selama seminggu di bawah panas terik. Selepas itu boleh direbus dan diminum,” katanya.

Mariam berkata, semenjak PKP dia tidak pernah terputus bekalan barangan keperluan asas memandangkan hanya tinggal bersama seorang cucunya di rumah pusaka peninggalan suami. Selain itu, beliau turut menerima wang saku daripada anak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Untuk mendapatkan pendapatan sampingan, dia turut menjual minuman herba berkenaan dengan harga RM10 sebungkus serta RM50 bagi setandan pisang kepada peraih, katanya. – Bernama

Mariam sedang menjemur akar kayu untuk dijadikan minuman herba tradisional. – Bernama