Warga emas maut dilanggar

MUKAH, 9 Mei – Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika membantu suaminya menukar tayar van mereka yang pancit di Km23 Jalan Mukah-Balingian, kira-kira 10:15 pagi hari ini.

Terdahulu, mangsa Naie Binti Lagar, 67 dipercayai telah menunaikan tanggungjawab mengundi bagi kerusi Parlimen Mukah di Dalat.

Sebelum kejadian, mangsa dan suaminya yang berusia 61 tahun, singgah di Rumah Mawar, Sebakong, Mukah dan bertolak ke pekan Selangau, menaiki van itu.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila wanita berusia 34 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu terlanggar mangsa ketika cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat. – Bernama