Warga emas maut nahas jalan raya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Seorang lelaki warga emas berbangsa Cina maut selepas terlibat dalam perlanggaran di Lebuh raya Tutong menghala ke Muara berhampiran Kampung Lugu hari ini.

Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan kemalangan tersebut selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3:35 pagi yang meragut nyawa lelaki warga emas tempatan bernama Pek Chong Tong, 68 tahun.

Mangsa meninggal dunia selepas mendapat kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik bertugas. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi bedah siasat untuk membantu siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Pemeriksaan dan siasatan awal mendapati mangsa tidak menggunakan tali pinggang keledar keselamatan semasa kemalangan berlaku.

Sehubungan itu, PPDB sekali lagi menegaskan dan menasihatkan orang ramai agar tidak memandu dalam keadaan mengantuk, sentiasa awas dan peka dengan keadaan sekeliling, tidak bertindak mementingkan diri sendiri, bertolak ansur dan bertimbang rasa serta menanaikan tanggungjawab bersama menjaga keselamatan diri dan orang lain semasa memandu.

Kereta mangsa yang remuk teruk dalam kejadian kemalangan jam 3:35 pagi, kelmarin. – Gambar serahan PPDB