Warga emas meninggal dunia dalam perjalanan ke Seria

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 15 JUN – Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun telah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu dan dalam perjalanan dari Kuala Belait menghala ke Seria.

Kenderaan yang dipandu mangsa warga tempatan itu dipercayai hilang kawalan dan merempuh kawasan belukar berdekatan Lebuh raya Mumong, Kuala Belait, Daerah Belait.

Laporan kemalangan disahkan oleh Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sekitar 11:36 pagi, menurut PPDB.

PPDB menjelaskan, semasa ditemui, mangsa didapati tidak sedarkan diri di dalam kenderaannya dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan, Daerah Belait oleh ahli-ahli paramedik dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa dipercayai mengalami serangan jantung semasa dalam pemanduan dan penyebab kepada kemalangan berlaku.

Walau bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Kereta mangsa yang terbabas berdekatan belukar di Lebuh raya Mumong, Kuala Belait. – Gambar serahan PPDB