Warga emas perlu diiktiraf

SANDAKAN, 13 SEPT – Golongan warga emas perlu diiktiraf kerana peranan mereka dalam membangunkan masyarakat, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung hari ini.

Beliau berkata ini termasuk meraikan majlis khas dengan warga emas khususnya mereka yang tinggal di rumah jagaan orang tua.

“Kita seharusnya tidak lupa dengan orang tua yang telah (menyumbang kepada masyarakat) sebelum kita…mereka telah membantu kita (masyarakat) selama ini.

“Jadi, kita perlu mengiktiraf peranan dan usaha mereka (dalam masyarakat) dengan memastikan mereka juga hidup dengan selesa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Sri Harapan bersempena Festival Kuih Bulan di sini.

Poon turut berpuas hati dengan pengurusan Sri Harapan dan gembira kesemua 52 penduduk rumah itu dijaga dengan baik.

Bagaimanapun, beliau akan meminta Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Sabah untuk meningkatkan bilangan jururawat di rumah jagaan orang tua itu. – Bernama

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung (dua, kanan) bertanya sesuatu kepada warga emas Dominic Newbronner, 83, ketika mengadakan lawatan ke Rumah Wargatua Sri Harapan sempena sambutan pesta kuih bulan hari ini. Turut sama Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee (kanan). –Bernama