Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Warga emas serlah bakat melalui lukisan

    CHINA – Di kawasan kebudayaan utama daerah Xiuzhou di bandar Jiaxing, wilayah Zhejiang, beberapa orang wanita warga emas menggunakan imaginasi mereka dan beberapa warna cerah untuk melukis pemandangan indah kehidupan di Jiangnan, atau ‘selatan Sungai Yangtze’.

    Mereka ialah ahli kumpulan petani terdiri daripada pelukis dikenali sebagai Ten Sisters, yang ditubuhkan pada 2009. Kumpulan itu mempunyai 12 ahli dari luar bandar, yang mana ahli tertuanya berusia 76 tahun dan yang termuda 61 tahun.

    “Mereka berasal dari kampung Hexin (di Jiaxing) dan mempelajari bidang melukis pada masa yang sama,” kata Zhu Qinhua, seorang pengajar dari tempat kebudayaan daerah itu.

    “Angka sepuluh di sini lebih merujuk kepada ‘kesempurnaan’ dan bukannya nombor tertentu, bagi merujuk namanya.”

    Malah, kumpulan itu tidak bermula sebagai pelukis, namun sebagai penggemar tarian di mana para petani pergi ke tempat kebudayaan daerah itu untuk menyertai aktiviti. Pada tahun 2009, mereka ditanya sama ada mereka ingin belajar melukis.

    Kumpulan petani yang juga pelukis dikenali sebagai Ten Sisters, yang mana ahli tertuanya berusia 76 tahun dan yang termuda 61 tahun. – ANN/The China Daily

    Lukisan yang diberi tajuk Autumn Harvest. – ANN/The China Daily
    Antara lukisan Ten Sisters yang diberi tajuk Happy Family. – ANN/The China Daily

    “Pada mulanya, kami fikir kami tidak dapat melakukannya. Saya seorang yang buta huruf,” kata salah seorang ahli, Dong Aina.

    “Tetapi dengan bimbingan dan galakan daripada pengajar kami, saya semakin selesa melukis.”

    Selama bertahun-tahun, mereka berbincang dengan pengajar dari tempat kebudayaan daerah Xiuzhou tentang kerja mereka di kampung.

    Mereka bertukar-tukar idea tentang gubahan dan pewarnaan serta pengalaman melukis.

    Ini telah menjadi rutin untuk wanita tua dan pengajar mereka. Untuk mencipta sesuatu karya, mereka mesti terlebih dahulu membuat sampel di atas kertas A4, memberitahu pengajar tentang idea, kemudian menyempurnakannya mengikut nasihat pengajar.

    Selepas itu, mereka perlu meningkatkan skala, memperkayakan butiran, dan mewarnainya sehingga penciptaan selesai, menurut Ten Sisters.

    ‘Luar biasa’ adalah perkataan yang paling banyak diucapkan oleh Dong yang berusia 67 tahun.

    “Atas pelbagai sebab, saya tidak dapat pergi ke sekolah, malah saya tidak tahu menulis nama saya sendiri, tetapi kini saya digelar sebagai ‘pelukis’, dan saya sangat gembira.”

    Dia teringat pada kali pertama dia melukis: “Tangan saya menggigil teruk dan apabila pengajar meminta saya melukis ikan, saya sangat gementar sehingga saya melukis empat kaki padanya!”

    Selepas mereka menjalani latihan, lukisan itu tidak lagi ‘kebudak-budakan’, kata salah seorang pengajar.

    “Lukisan ini kelihatannya rata, tetapi jika awda melihat dengan teliti, awda dapat melihat bahawa ia sebenarnya menunjukkan pemandangan tiga dimensi,” kata pengajar sambil menunjuk ke arah lukisan bertajuk Fairy Embroidery.

    “Tiada seorang pun daripada mereka telah menerima latihan profesional, bukan mudah untuk mempunyai imaginasi sedemikian.”

    Selain itu, kumpulan itu telah bekerja keras. Jiang Sanna, ahli kumpulan tertua dan pembuat Fairy Embroidery, bangun pada pukul 4 pagi setiap hari untuk berlatih melukis.

    Sokongan daripada anak dan cucunya amat diperlukan, katanya.

    Mereka telah memasang lampu untuknya kerana penglihatannya yang lemah.

    Untuk memberi inspirasi kepada lukisannya, cucu Jiang berjalan jauh ke kampung jiran untuk merakam gambar pemandangan alam semula jadi untuk rujukannya.

    Beberapa tahun yang lalu, lebih 50 lukisan oleh Ten Sisters telah memenangi anugerah di pertandingan peringkat kebangsaan dan wilayah dan beberapa pameran telah dianjurkan.

    Berbanding dengan genre lain, lukisan petani di China agak baharu.

    Dilahirkan daripada tradisi rakyat, ia berakar umbi di kawasan luar bandar pada tahun 1950an selepas penubuhan Republik Rakyat China pada tahun 1949, dan secara amnya merujuk kepada karya yang dicipta oleh artis amatur yang merupakan petani, penggembala atau nelayan.

    Menggambarkan kehidupan luar bandar yang dikenali oleh pelukis petani ini, lukisan mereka selalu memberikan keaslian dan warna yang jelas kepada perubahan sosial yang telah berlaku di luar bandar sepanjang enam dekad yang lalu atau lebih.

    Lukisan kumpulan ini tidak terkecuali. Transformasi dan pembangunan kawasan luar bandar baharu China dalam beberapa tahun kebelakangan ini dapat dikesan dengan jelas di dalamnya.

    “Pada mulanya, kami melukis adegan mudah seperti menternak ayam dan itik, dan menangkap ikan, tetapi kemudian, lukisan kami mula memasukkan subjek seperti rawatan kumbahan, pembersihan sungai dan rawatan sampah berpusat,” kata Dong Ai’e, seorang lagi ahli.

    “Bertahun-tahun kemudian, orang mungkin bergantung pada lukisan kami untuk mengimbas kembali perubahan di kawasan luar bandar.”

    Pelukis petani seperti Ten Sisters bukan sesuatu yang jarang ada di Jiaxing, malah di Zhejiang.

    Miao Huixin, seorang petani-pelukis terkemuka dari bandar, telah dinamakan sebagai salah satu daripada 10 artis Asia yang luar biasa oleh majalah Time pada tahun 1998, dan sebagai pelukis rakyat yang cemerlang oleh Festival Seni China Ketujuh di Jiaxing pada tahun 2004.

    Beliau telah turut mengadakan pameran solo di Amerika Syarikat dan Jepun. Selama bertahun-tahun, kerajaan tempatan telah berusaha untuk mempromosikan lukisan di kalangan petani dan memperkayakan kehidupan budaya mereka.

    Pada awal tahun 2001, Pusat Seni Peladang China telah pun ditubuhkan di daerah Xiuzhou, dan festival yang menampilkan lukisan petani telah diadakan setiap dua hingga tiga tahun sejak itu.

    Studio telah disediakan untuk petani-pelukis mempunyai tempat tetap untuk hobi mereka. Pada 2019, Xiuzhou dinamakan sebagai ‘kampung asal budaya dan seni rakyat China’ oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.

    Lukisan petani juga telah memasuki pasaran, dan produk berkaitan seperti tudung sutera, topi dan kasut membawa manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan. – ANN/The China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...