Warga emas sesat ditemui

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan sesat di hutan Sungai Meragang, Mukim Labu, Daerah Temburong pada 12 Oktober lalu, telah berjaya dijumpai di tepi jalan pada tengah hari, kelmarin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa jabatan berkenaan telah menerima panggilan bagi mencari dan menyelamat orang yang sesat di hutan berkenaan pada pukul 3:04 petang, 12 Oktober lalu dan mengerahkan sebuah jentera dari Balai Bomba Bangar.

Mengikut keterangan ahli keluarga dan rakan, anggota bomba dan penyelamat mendapati bahawa mangsa ialah seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang telah masuk ke hutan dan dipercayai sesat.

Pencarian segera dijalankan oleh seramai 21 orang anggota dari Operasi G dan Skuad Khas bersama anggota Polis RU C di sekitar kawasan hutan berkenaan hingga ke hari esoknya dengan bantuan renjer dari Jabatan Perhutanan.

Kenyataan menyatakan bahawa pada pukul 1:18 petang, pihak Polis Bangar memaklumkan kepada Incident Command Post bahawa mangsa telah dijumpai di tepi jalan utama di Kampung Perdayan.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam Temburong untuk tindakan selanjutnya.

Kenyataan turut menyatakan bahawa operasi itu diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan dibantu Stesen Komander Balai BombaBangar, Pemangku ASFR Jamaludin bin Ahmad.

JBP menyarankan orang ramai supaya peka akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mulai gelap, jangan mendaki bukit secara berseorangan kerana ditakuti berlakunya perkara yang tidak diingini dan memaklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan di mana tempat yang hendak mereka tuju serta bagi keselamatan mereka semasa melakukan riadah hiking disarankan membawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.

Kenderaan anggota bomba dan penyelamat menuju ke tempat warga emas dilaporkan sesat.
Anggota bomba dan penyelamat dari Operasi G dan Skuad Khas bersama anggota Polis RU C dengan bantuan renjer dari Jabatan Perhutanan segera melancarkan operasi mencari warga emas yang sesat di Hutan Sungai Meragang Mukim Labu, Temburong pada 12 Oktober lalu.