Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas tangkap belut sebagai pendapatan sampingan

    SETIU – Lazimnya musim tengkujuh adalah ‘tempoh berehat’ bagi kebanyakan nelayan kerana cuaca buruk menyebabkan mereka tidak dapat keluar ke laut atau sungai untuk mencari rezeki seperti biasa.

    Namun berlainan pula bagi Awang Sulong, 65, yang memanfaatkan masa terluangnya dengan mencari belut sawah sebagai sumber pendapatan alternatif ketika musim berkenaan.

    Nelayan sungai dari Kampung Beris Tok Ku itu mampu meraih pendapatan hingga RM400 sehari hasil menjual belut sawah yang ditangkap di sekitar kawasan kampung tersebut.

    Awang yang ditemani menantunya, Wan Zairi Wan Husin, 26, akan mula memasang perangkap yang diperbuat daripada paip PVC pada sebelah petang dengan menjadikan ikan rebus sebagai umpan.

    “Esoknya kira-kira pukul 6:45 pagi, baru kita pergi ambil belut itu. Jumlahnya tidak menentu, paling sedikit lapan kilogram (kg), ada juga pernah dapat lebih 20 kg dalam masa sehari, bergantung kepada rezeki.

    Wan Zairi Wan Husin mengutip belut yang masuk ke dalam perangkap dikenali sebagai tukil. – Bernama
    Awang Sulung (tengah) bersama menantunya Wan Zairi Wan Husin (kanan) dan rakan menantunya Mohd Amir Rahimi Rosli menyediakan perangkap belut dikenali sebagai tukil semasa ditemui di Kampung Beris Tok Ku. – Bernama

    “Belut ini memang sentiasa ada di sawah namun jumlahnya akan meningkat mendadak pada musim tengkujuh. Jadi, rezeki lumayan untuk sesiapa sahaja yang rajin dan sanggup ‘basoh jeruk’ (basah kuyup) dalam hujan lebat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Awang, belut hidup akan dijual kepada pemborong dan pemilik kedai makan pada harga RM18 sekilogram manakala belut yang sudah mati dijual hanya RM10 sekilogram.

    Kegigihan warga emas tersebut mencari rezeki turut menarik perhatian anak muda kampung itu yang bekerja di sebuah syarikat petroleum dan gas, Muhammad Amir Rahimi Rosli, 31, untuk ‘bermain lumpur dan hujan’ membantu Awang dan Wan Zairi menangkap belut setiap kali dia pulang bercuti.

    Muhammad Amir Rahimi yang merupakan sahabat baik Wan Zairi berkata beliau teruja dapat membantu dua beranak itu kerana belut adalah lubuk rezeki mereka sepanjang musim tengkujuh.

    “Saya bantu mereka iklankan jualan belut ini menerusi laman Facebook dan WhatsApp. Alhamdulillah, ramai juga yang tempah termasuk pemilik kedai makan yang mahu menjadikan belut itu sebagai haiwan pameran di premis mereka. Ia juga antara tarikan di kedai makan kerana pelanggan seronok dapat menikmati belut segar sebagai hidangan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda